Ustaz Don Kongsi Hadis Dhoif Banyak Digunakan Dalam Mazhab Syafie - “Hadis Dhoif Boleh Digunapakai Selama Mana…”

18 Jun 2024 • 5:55 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Susulan kontroversi penggunaan hadis lemah menerusi program Salam Baitullah terbitan RTM di TV1, Ustaz Don tampil menjelaskan perspektifnya berkaitan permasalahan tersebut. 

“Kita guna hadis dhoif, malahan dalam mazhab Imam Syafie sendiri banyak menggunakan hadis-hadis itu dalam amalan seharian kita...

Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid menyatakan kontroversi berkenaan tercetus diakibatkan oleh cara pemikiran berbeza sesetengah pihak berhubung hadis dhoif.

“Sekolah atau bukunya tak sama. Pihak satu lagi mereka menggunakan hadis dhoif bersamaan dengan hadis palsu, jadi hadis-hadis itu ditolak.

“Kita guna hadis dhoif, malahan dalam mazhab Imam Syafie sendiri banyak menggunakan hadis-hadis itu dalam amalan seharian kita.

“Dengan menyatakan hadis dhoif boleh digunapakai selama mana ia bersesuian bukan pada akidah dan hukum hakam,” katanya. 

Rasa Pelik Dengan Netizen?

Sementara itu, Ustaz Don ketika ditemui di sidang media yang berlangsung di restorannya di Putrajaya pada malam Jumaat mengakui berasa pelik dengan sikap segelintir netizen yang membuat andaian bahawa dirinya hanya pakar dalam bidang tajwid dan bukannya hadis.

"Selalu orang cakap macam itu (kepakaran dalam tajwid bukan hadis), yang saya hairan macam mana mereka (netizen) tahu subjek yang saya belajar?

“Sebab dalam diploma dan ijazah sarjana muda saya ada subjek hadis, terutama ketika belajar di peringkat diploma.

"Masa saya diploma pun saya pergi kelas pengajian hadis, tapi saya okay sahaja," ujarnya.

Sebelum ini, Ustaz Don pernah direhatkan selama seminggu daripada rancangan tersebut selepas mengupas tentang isu kekasih pertama Nabi Muhammad SAW yang juga dianggap tanpa sokongan dalil sah.

Bagaimanapun selepas sehari dibenarkan bersiaran, timbul pula kontroversi terbaharu sehingga menyebabkan tugasnya ditamatkan serta merta.