
GERIK – Pendakwah selebriti, Ustaz Wadi Annuar, 43, dilaporkan mengalami kecederaan ringan ekoran terlibat kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini kira-kira pukul 2 pagi tadi.
Menurut hantaran di laman Facebook rasminya, beliau kini berada dalam keadaan stabil walaupun mengalami kecederaan ringan.
“Kami memohon jasa baik semua agar memberi ruang kepada beliau untuk berehat. Buat sementara waktu, beliau belum menerima kunjungan ziarah.
“Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua. Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan serta mempermudah segala urusan beliau dan semua yang terlibat. Amin,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Pendakwah tersebut mengalami kemalangan di Gerik berhampiran Tasik Banding dengan beliau mengalami kecederaan di dada dan perut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan tersebut membabitkan tiga buah kenderaan.
“Terima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 2.40 pagi. Ia membabitkan 10 orang mangsa dengan lima daripadanya mengalami kecederaan.
“Kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Myvi, Toyota Velfire dan Perodua Bezza. Perodua Myvi telah terbabas ke longkang dan terdapat seorang mangsa lelaki berumur 25 tahun tersepit di bahagian penumpang hadapan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, pemandu Myvi seorang lelaki berumur 24 tahun parah, seorang penumpang belakang berumur 24 tahun pula mengalami kecederaan ringan
Katanya, seramai empat mangsa dari Toyota Vellfire dengan dua daripadanya cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera tiba.
“Pemandu Myvi bersama dua orang mangsa cedera dari Toyota Velfire telah dibawa ke Hospital Gerik dengan menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan sebelum jentera tiba di lokasi kejadian.
“Tiada kecederaan pada tiga mangsa di Perodua Bezza dan kenderaan tersebut tiada di lokasi kejadian kerana pemilik telah ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Ustaz Wadi Annuar cedera ringan, belum bersedia diziarahi appeared first on Kosmo Online.






