
PENDAKWAH, Ustazah Asma' Harun mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan trend berjoget untuk mengambil duit raya.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyeru seluruh umat Islam agar mengutamakan adab dan maruah terutamanya menjelang musim perayaan.
Tegasnya, trend seperti berjoget-joget ketika mengambil duit raya demi meraih perhatian di media sosial perlulah dihentikan.
"Jangan dibuat lagi tahun ni trend ambil duit raya berjoget-joget, tua dan muda jadi hilang sopan dan sifat malu.
"Apabila ada yang beri duit raya ikutlah adab dan adat kita. Salam, ucap terima kasih dan bersyukur atas rezeki yang ALLAH beri," kongsinya.
Hal berkenaan pernah ditegur oleh Ustazah Asma' pada tahun lalu. Malah ia juga mendapat perhatian daripada Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun.
Jelasnya trend menari di TikTok ketika acara pemberian duit raya sempena sambutan Aidilfitri boleh membawa kepada hukum haram terutama wanita beragama Islam sekiranya ia dilakukan secara berlebihan sehingga menonjolkan aurat.
"Budaya kita ialah bersalaman dan mengucapkan kemaafan serta terima kasih sempena menyambut Aidilfitri.
"Ia tidak perlu dicacatkan dengan perbuatan berjoget sehingga melampaui batas agama dan tidak manis," ujarnya.
Tambahnya lagi, sekiranya ia mengikut agama lain, maka ia haram kerana menyerupai agama lain.
