Ustazah Asma’ tegur aksi tayang kemesraan

12 Sep 2026 • 9:46 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ustazah Asma’ tegur aksi tayang kemesraan

PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menegur penyanyi dan cef selebriti serta usahawan terkenal berhubung tindakan mereka yang dilihat menampilkan kemesraan menerusi kandungan di media sosial.

Teguran itu dipercayai merujuk kepada video dan kandungan tular yang memaparkan kedua-dua figura berkenaan bersama sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen mengenai hubungan mereka.

“Kalau dah nikah, wajiblah hebahkan, jangan sampai timbul fitnah, kalau belum nikah, berhentilah buat konten seperti ini.

“Apabila diri sendiri memilih untuk menayangkan kemesraan kepada khalayak, maka perlu bersedia apabila masyarakat mula bertanya, menegur dan membuat pelbagai andaian,” katanya.

Ustazah Asma’ berkata, sekiranya mereka masih belum bernikah, keadaan itu sudah sampai ke tahap perlu disegerakan pernikahan.

“Jika benar belum nikah, dah tahap wajib nikah segera ni. Kita mengharapkan ia bukan semata-mata konten untuk melariskan jualan, hingga sanggup jatuhkan maruah sebagai Muslim,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan teguran terhadap sesuatu perbuatan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghina atau mencaci individu terbabit.

“Namun, apabila situasi ini bukan lagi dalam kategori aib yang tersembunyi, ia dirakam dan ditayang secara terbuka, maka seolah-olah sengaja mengundang kecaman netizen.

“Terkilan, keduanya figura yang dikenali dan dihormati dalam masyarakat. Keduanya juga mempunyai ilmu, pengalaman dan pengaruh yang besar,” tegurnya.

Beliau turut mengulas mengenai alasan sesetengah pihak bahawa sentuhan antara lelaki dan wanita bukan mahram dibenarkan sekiranya terdapat lapik.

“Hukum asal menyentuh lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram sekiranya dilakukan secara sengaja dan bukan atas keperluan atau darurat yang diiktiraf syarak.

“Bagaimanapun, terdapat pandangan tertentu dalam Mazhab Syafi‘i yang membenarkan bersalaman dengan wanita bukan mahram dalam keadaan tertentu, antaranya apabila terdapat lapik dan aman daripada fitnah,” katanya.

Namun katanya ia bukan hukum umum serta bukan lesen bermudah-mudah dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan sentuhan dalam lakonan atau seni.

“Keharusan berkenaan tertakluk kepada syarat dan keadaan tertentu serta tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan semua bentuk sentuhan antara lelaki dan wanita bukan mahram.

“Alasan bahawa sesuatu kemesraan berlaku di tempat terbuka dan disaksikan ramai orang juga tidak bermakna batas pergaulan lelaki dan wanita bukan mahram boleh diketepikan,” jelasnya.

Katanya, perkara itu menjadi lebih membimbangkan apabila aksi berkenaan dirakam, disunting dan dimuat naik ke media sosial untuk tontonan umum. – KOSMO! ONLINE

The post Ustazah Asma’ tegur aksi tayang kemesraan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved