Usul Pas bertanding kerusi Parlimen Ketereh pada PRU16 diluluskan

LocalPolitics
17 May 2026 • 3:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Usul Pas bertanding kerusi Parlimen Ketereh pada PRU16 diluluskan
Pemuda Pas Kawasan Ketereh mengusulkan agar Pas diberi laluan untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan pada PRU16.

KOTA BHARU - Pemuda Pas Kawasan Ketereh mengusulkan agar Pas diberi laluan untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Pemudanya, Muhd Adha Abdullah berkata, usul itu diluluskan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Pas Kawasan Ketereh Kali Ke-23 pada Sabtu.

Menurut beliau, usul tersebut akan dikemukakan secara rasmi kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan menjelang PRU16.

"Fokus usul adalah agar kerusi Parlimen Ketereh (P.026) diberikan laluan kepada Pas dengan menampilkan calon yang berwibawa untuk bertanding pada PRU16.

"Usul ini diluluskan dalam mesyuarat tahunan kali ini dan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi parti," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Hadir sama merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Pas Kawasan Ketereh ialah Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan, Wan Rohimi Wan Daud.

Beliau memberitahu, usul berkenaan mencerminkan hasrat serta pandangan akar umbi Pemuda Pas di kawasan itu berhubung hala tuju parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.