
TENTU masih ingat kes pembunuhan tragis wanita berusia 21 tahun, Nur Anisah Abdul Wahab, yang maut di tangan teman lelaki pada Mei 2023.
Perbuatan kejam itu bukan sahaja meragut satu nyawa. Lebih tragis, tetapi dua nyawa sekali gus diragut apabila Nur Anisah ketika itu dikatakan sedang hamil 18 minggu.
Tiga tahun berlalu, dalam perkembangan terbaharu, pelaku, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Khamis menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan lelaki berkenaan untuk mengetepikan hukuman gantung yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang sebelum ini.

Semasa membacakan keputusan sebulat suara, Azman berkata mahkamah mengambil kira usia muda perayu ketika kejadian, iaitu 20 tahun.
Selain itu, beliau berkata, wujud pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
“Kami mengetepikan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman berkenaan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Hakim Datuk Seri Mohd Radzi Harun.
Peguam Muhammad Nor Tamrin yang mewakili bekas penuntut universiti itu dalam hujahannya berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman terlalu berat terhadap anak guamnya.
“Muhammad Fakrul Aiman telah mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula, malah ketika kejadian dia hanya berusia 20 tahun,” katanya.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memohon mahkamah mengekalkan hukuman gantung kerana jenayah dilakukan disifatkan sangat kejam.
Imbas kembali, pembunuhan tragis yang berlaku di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor itu terbongkar apabila orang awam menemui mayat seorang wanita tempatan dalam keadaan terbakar dan tertiarap di kawasan kebun kelapa sawit tersebut sekitar 8 pagi, 24 Mei 2023.
Berikut adalah kronologi tragedi hitam yang meruntun hati:
1-Lelaki berkenaan yang merupakan bekas penuntut universiti terdahulu membawa mangsa menaiki kereta sebelum mereka bertengkar.
2-Wanita berusia 21 tahun itu dipukul dengan kayu pada kepala hingga terjatuh dan dibunuh di lokasi berkenaan sekitar jam 10 malam.
4- Muhammad Fakrul Aiman yang ketika itu berusia 20 tahun ditahan di sebuah kediaman di sekitar Sungai Besar pada 1.45 tengah hari.
5-Hasil siasatan awal mendapati jasad wanita itu dipercayai telah dibakar sebanyak dua kali bertujuan untuk melupuskan bukti.

6-Suspek didakwa memukul, menik@m menggunakan pisau dapur. Lebih mengerikan, lelaki itu dipercayai telah menoreh perut mangsa sebelum membakar mayat kekasihnya pada 10 malam kejadian.
7- Kira-kira jam 7 pagi keesokan hari lelaki itu kembali ke tempat kejadian dengan membawa tong berisi petrol untuk membakar jasad teman wanitanya itu sekali lagi.
8-Lelaki itu turut membuang barang bukti termasuk barangan milik mangsa di sekitar Jalan Lama, Kuala Selangor.
9-Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun serta maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
10-Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Norazlin Othman pada Oktober 2025 menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Muhammad Fakrul Aiman selepas lelaki itu mengekalkan pengakuan bersalahnya.

11-Hukuman berkenaan diputuskan selepas mengambil kira keseriusan perbuatan itu yang disifatkan sebagai 'kejam' dan hakikat kes itu yang menjurus kepada jenayah dirancang. Justeru, ia memerlukan satu hukuman berat jika dibandingkan dengan jenayah bersifat spontan.
12-Hakim Norazlin melihat kes berkenaan bukan sekadar satu nyawa terkorban iaitu si mati tetapi juga anak yang dikandungnya selama 18 minggu.
13-Malah hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kesan bakar yang meliputi hampir seluruh tubuh.
14-Lebih sadis lagi, bahagian usus dan kandungan yang terkeluar.
15- Mangsa juga mengalami kesan-kesan luka tikam dan hiris pada abdomen dan tapak tangan.
"Tertuduh juga dikatakan telah memukul kepala si mati menggunakan kayu sehingga jatuh serta mengheretnya ke tepi parit dan mengambil pisau di kereta lantas menik@m perut dan menghiris leher si mati," katanya.
15-Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli kesalahan itu amat serius kerana melibatkan nyawa manusia. Apatah lagi mangsa ketika itu sedang hamil.
16- Cara mangsa meninggal dunia disifatkan terlalu kejam dan dan melibatkan faktor kepentingan awam dan perlu menjadi pengajaran kepada semua.
