Utamakan doktor asal Sabah, Sarawak bagi perjawatan tetap

LocalPolitics
13 Oct 2026 • 5:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Utamakan doktor asal Sabah, Sarawak bagi perjawatan tetap

KENINGAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran mengutamakan pengambilan lebih ramai doktor berasal dari Sabah dan Sarawak bagi mengisi kekosongan jawatan di kedua-dua negeri itu.

Langkah berkenaan sekaligus dilihat mampu mengurangkan masalah pegawai perubatan yang tidak melaporkan diri selepas menerima tawaran penempatan.

Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambunan Datuk Victor P Paut berkata langkah itu perlu diberi perhatian susulan pengumuman kerajaan menawarkan lebih 9,000 jawatan tetap kepada doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027.

Beliau berkata doktor yang berasal dari Sabah dan Sarawak wajar diberikan keutamaan kerana mereka lebih berkemungkinan menerima penempatan di tempat sendiri berbanding mereka yang dari negeri lain dan perlu berpindah jauh dari keluarga.

“Kita menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menyerap lebih 9,000 doktor kontrak ke jawatan tetap namun pada masa sama saya berharap KKM memberi keutamaan kepada doktor asal Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat di negeri masing-masing.

“Dengan cara ini kita berharap masalah doktor menolak tawaran atau tidak melaporkan diri selepas diberikan penempatan dapat dikurangkan sekaligus mengatasi masalah kekurangan doktor yang kritikal di kedua-dua wilayah ini.

“Ini kerana daripada lebih 500 tawaran penempatan yang dikeluarkan sebelum ini, hanya kira-kira 300 pegawai saja dilaporkan hadir melapor diri,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Malam Apresiasi Media Pedalaman baru-baru ini.

Selain penawaran jawatan doktor tetap, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2027 Jumaat lalu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM47.7 billion untuk KKM melibatkan insentif pos basik jururawat dan paramedik sebanyak RM200 sebulan serta 400 ambulans baharu dan Pelan MediAsas mulai January 2027 termasuk meneruskan Skim MySalam.

Dalam pada itu Victor yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera turut menyarankan supaya elaun wilayah bagi doktor yang berkhidmat ditambah bagi meningkatkan daya tarikan penempatan, terutama bagi mereka yang perlu berjauhan daripada keluarga.

Menurutnya pengambilan lebih ramai anak tempatan, disokong insentif bersesuaian dan perancangan penempatan yang berkesan, dapat membantu memastikan keperluan doktor di hospital serta klinik termasuk di kawasan pedalaman dipenuhi.

“Pada pendapat saya insentif wilayah perlu ditambah supaya dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka dan menjadi dorongan untuk menerima penempatan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu katanya inisiatif di bawah belanjawan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkukuh tenaga kerja kesihatan dan memastikan penduduk Sabah serta Sarawak mendapat akses kepada perkhidmatan perubatan yang mencukupi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved