Kerajaan perluas satelit Starlink ke kampung Orang Asli

LocalTechnology
10 Oct 2026 • 6:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan perluas satelit Starlink ke kampung Orang Asli

MELAKA: Kerajaan akan memanfaatkan teknologi satelit Starlink bagi memperluas capaian internet ke kampung-kampung Orang Asli terutama di pendalaman Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penggunaan teknologi itu menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 dijangka membantu menyediakan kemudahan internet di kawasan yang sukar mendapat liputan melalui pembinaan menara telekomunikasi konvensional.

Menurutnya, Starlink sesuai digunakan di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk rendah, selain menawarkan peranti versi terbaharu yang lebih kecil, mudah dibawa dan menggunakan tenaga lebih rendah terutama di pendalaman Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jadi, kita akan memanfaatkan teknologi seperti Starlink untuk membantu memastikan ada capaian internet di kampung-kampung Orang Asli.

“Pelaksanaan JENDELA 2 merangkumi keseluruhan 3,000 tapak di seluruh negara dengan populasi antara 20 hingga 30 orang sehingga 200 hingga 300 orang bagi setiap lokasi.

“Justeru kita akan melaksanakan projek ini sama rata iaitu satu pertiga di pendalaman Semenanjung, satu pertiga di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program PMK Paya Rumput@Tangga Batu di Krubong, di sini, hari ini.

Kata Fahmi, bagi fasa kedua program ini lebih banyak tertumpu di lokasi terutama membabitkan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, selain beberapa kawasan di Semenanjung.

Katanya, usaha tersebut merupakan antara pendekatan kerajaan untuk merapatkan jurang digital, khususnya bagi penduduk di kawasan terpencil yang masih berdepan kesukaran mendapatkan akses internet yang stabil.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kira-kira satu pertiga lokasi akan menggunakan pendekatan pembinaan menara telekomunikasi, manakala selebihnya menggunakan pelbagai teknologi bersesuaian mengikut keadaan dan keperluan kawasan berkenaan.

Katanya, pemilihan teknologi akan mengambil kira kepadatan penduduk serta cabaran geografi bagi memastikan penyediaan capaian internet dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, fasa pertama JENDELA 2 sedang dilaksanakan dengan melibatkan 1,000 tapak, manakala proses mengenal pasti vendor dan urusan berkaitan akan dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jelasnya, Fasa kedua yang melibatkan baki 2,000 tapak pula dijangka menyusul pada awal tahun depan.

Menurutnya, pelaksanaan fasa pertama turut memastikan pembahagian lokasi secara seimbang dengan masing-masing satu pertiga daripadanya berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

The post Kerajaan perluas satelit Starlink ke kampung Orang Asli appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved