
SHAH ALAM, 18 OKT: Inisiatif Kerajaan Selangor menyediakan vaksin Influenza A secara percuma kepada pelajar disambut baik orang ramai, khususnya golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan kos rawatan dan Harga ubat mahal.
Kakitangan swasta, Muhamad Shukri Saharuddin, 45, berkata langkah itu tepat pada masanya memandangkan penularan jangkitan Influenza semakin membimbangkan ketika ini.
“Satu pengumuman yang mengejutkan tetapi ia sangat melegakan, lebih-lebih lagi bagi kami yang ada anak bersekolah.

"Seperti kita sedia maklum kos ubat Influenza agak mahal dan tidak ramai mampu bayar. Dengan pengumuman ini, dapatlah meringankan beban ibu bapa,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Rozaini Zulkifli, 48, berpandangan usaha Kerajaan Negeri itu mencerminkan keprihatinan terhadap isu kesihatan awam terutama dalam kalangan pelajar.
“Ini merupakan satu inisiatif yang amat bagus. Saya harap ramai ambil peluang ini dan pada masa sama mungkin jumlah penerima boleh ditambah lagi,” ujarnya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membiayai pemberian vaksin Influenza A kepada 12,500 pelajar di empat daerah berisiko tinggi iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu akan bermula seawal minggu depan dan diketuai EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin sebagai langkah segera mengekang penularan penyakit di sekolah.
Beliau berkata pelaksanaan itu merupakan langkah segera untuk mengekang penularan penyakit di sekolah selari dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kesihatan awam, khususnya golongan pelajar.

