Vantris Energy lantik bekas COO PETRONAS, Adnan Zainol sebagai Pengerusi baharu

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2025 • 9:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vantris Energy lantik bekas COO PETRONAS, Adnan Zainol sebagai Pengerusi baharu

image is not available

30/09/2025 - 09:57

Adnan Zainol Abidin Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Sept – Vantris Energy Bhd, syarikat perkhidmatan minyak dan gas yang dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Bhd melantik bekas Ketua Pegawai Operasi PETRONAS, Adnan Zainol Abidin sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Adnan, yang turut pernah memegang jawatan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd (PetGas), membawa pengalaman lebih empat dekad dalam industri minyak dan gas.

Vantris Energy berkata, pelantikannya selaras hasrat Kumpulan untuk memacu hala tuju baharu selepas melalui fasa penstrukturan semula.

“Beliau menggantikan Shahin Farouque Jammal Ahmad yang akan melepaskan jawatan pada tarikh sama.

“Shahin Farouque kini merupakan Ketua Pelaburan Strategik Kumpulan di Permodalan Nasional Bhd (PNB),” kata Vantris Energy dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, Vantris Eenergy memaklumkan Datuk Shahriman Shamsuddin yang meletakkan jawatan daripada Lembaga Pengarah pada Jun lalu tidak lagi menjadi pemegang saham besar selepas pelaksanaan pelan regularisasi syarikat bagi keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Pelan tersebut melibatkan pengurangan modal serta penstrukturan hutang, sekali gus mengurangkan pinjaman kumpulan daripada RM10.8 bilion kepada RM5.6 bilion.

Vantris Eenergy berkata, ia turut menyaksikan terbitan 1.36 bilion saham baharu bagi penyelesaian hutang pada 26 September, yang mengakibatkan pegangan Shahriman berkurangan kepada hanya 0.02%.

Sebelum ini, beliau bersama abangnya, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Shahril Shamsuddin memiliki kepentingan tidak langsung sebanyak 11.25% melalui Brothers Capital Sdn Bhd.

Penyempurnaan pelan berkenaan turut membawa masuk tiga bank utama negara sebagai pemegang saham besar Vantris iaitu Malayan Banking Bhd (20.27%), CIMB Group Holdings Bhd (12.13%) dan RHB Bank Bhd (7.21%). - DagangNews.com

standard