INSIDEN membabitkan seorang pelajar sekolah menengah di Nilai, Negeri Sembilan yang disyaki menghisap vape mengandungi campuran dadah sehingga menyebabkan mangsa hilang kesedaran dan mengalami kekeliruan mencetuskan kebimbangan serius serta menuntut perhatian semua pihak.
Kejadian tular di media sosial itu membuka mata masyarakat terhadap kemungkinan bahan terlarang dalam vape semakin mudah diperoleh, malah turut menular dalam kalangan pelajar sekolah.
Seperti kenyataan Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Negeri Pahang, Daniel Khoo, kejadian petunjuk kemungkinan wujudnya saluran pengedaran lebih luas.
Beliau menegaskan, siasatan perlu diperluas melangkaui pelajar yang memiliki atau menggunakan bahan berkenaan dengan menjejaki sumber bekalan serta mengenal pasti pihak bertanggungjawab membekalkannya.
Lebih membimbangkan, bahan terlarang itu dipercayai boleh diperoleh menerusi platform digital sebelum dihantar terus ke rumah menggunakan perkhidmatan penghantaran.
Jika perkara ini disahkan, ia membuktikan ancaman dadah kini semakin kompleks dan sukar dibendung hanya melalui kawalan keselamatan konvensional di sekolah.
Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan utama. Mereka tidak boleh menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik dan mengawasi anak-anak kepada pihak sekolah. Ibu bapa perlu mengambil tahu pergaulan, aktiviti dalam talian serta perubahan tingkah laku anak-anak.
Pihak sekolah juga perlu terus bersama memperkukuh pendidikan pencegahan dadah, mengenal pasti perubahan tingkah laku pelajar dan bekerjasama dengan agensi berkaitan. Sebarang perubahan tingkah laku membimbangkan perlu dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga supaya tindakan awal dapat diambil.
Pada masa sama pihak berkuasa perlu mempergiat usaha mengesan sumber bekalan, menyiasat kegiatan penjualan bahan terlarang dalam talian serta tegas terhadap pihak menjadikan pelajar sebagai sasaran.
Keselamatan generasi hari ini memerlukan kerjasama menyeluruh dalam kalangan anggota masyarakat. Jangan hanya menuding jari apabila sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya bersama-sama mencari jalan penyelesaian.






