
PETALING JAYA – Lelaki warga China yang ditahan membawa dua kilogram (kg) dadah disyaki kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dipercayai memperoleh bahan terlarang itu daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pada 22 Oktober lalu selepas tiba dari Pulau Pinang.
Menurutnya, suspek menaiki penerbangan Cathay Pacific CX622 dari Pulau Pinang ke Hong Kong sebelum ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuk suspek menemukan dadah disyaki kokain seberat dua kilogram yang disembunyikan di dalam beg pakaiannya.
“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh dadah berkenaan daripada seorang individu yang tidak dikenalinya di sebuah pasar raya di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hussein berkata, semakan turut mendapati pasport suspek baru dikeluarkan pada Oktober lalu dan tidak mempunyai sebarang rekod perjalanan lain.
Katanya, lelaki berkenaan dipercayai hanya berada di Malaysia selama tiga hari sebelum berlepas ke Hong Kong, namun mempunyai beberapa tempahan hotel sepanjang berada di negara ini.
“Suspek dipercayai dijanjikan ganjaran sebanyak RMB2,000 bagi urusan berkaitan dadah tersebut,” katanya.
Menurut Hussein, JSJN akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Hong Kong bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkembangan siasatan kes berkenaan.
Katanya, kerjasama itu termasuk bagi mengenal pasti ahli sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut di Malaysia.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki warga China berusia 25 tahun ditahan Jabatan Kastam Hong Kong selepas ditemukan membawa dua kilogram dadah disyaki kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
Suspek yang tiba dari Pulau Pinang pada Khamis lalu ditahan selepas pemeriksaan kastam menemukan dadah berkenaan dalam bagasi daftar masuknya.
Lelaki itu kemudian didakwa atas kesalahan mengedar dadah berbahaya dan dijadual dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kowloon Barat. – KOSMO! ONLINE
The post Kokain 2kg diperoleh dari pasar raya di Pulau Pinang sebelum ‘masuk’ Hong Kong appeared first on Kosmo Online.





