Vellfire bekas bintang bola sepak, Brabus AMG milik pakar motivasi kena sita

LocalCars
25 May 2026 • 8:33 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Vellfire bekas bintang bola sepak, Brabus AMG milik pakar motivasi kena sita
Mercedes Benz Brabus AMG milik pakar motivasi bergelar Datuk disita JPJ menerusi Op Luxury.
Image from: Vellfire bekas bintang bola sepak, Brabus AMG milik pakar motivasi kena sita
Jazmanie (kanan) melihat kenderaan jenis Toyota Vellfire milik bekas pemain bola sepak kebangsaan yang disita JPJ menerusi Op Luxury.

KUALA LUMPUR - Kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan Mercedes Benz Brabus AMG masing-masing milik bekas pemain bola sepak kebangsaan serta pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Luxury.

Bekas pemain bola sepak yang pernah merangkul beberapa kali kejuaraan Liga Super itu ditahan ketika memandu Toyota Vellfire kira-kira jam 4 pagi di sini pada Sabtu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi), JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kenderaan mewah membabitkan bekas pemain itu disita selepas melakukan tiga kesalahan iaitu tiada perlindungan insurans, LKM tamat tempoh dan lesen memandu tamat tempoh.

Menurutnya, semakan mendapati LKM itu tamat tempoh sejak 7 Disember tahun lalu.

"LKM itu sudah masuk lima bulan dan masih belum diperbaharui dan sebab itu kenderaan itu disita," katanya dalam sidang akhbar di JPJ Kuala Lumpur di sini pada Ahad.

Tambahnya, kenderaan pakar motivasi itu pula ditahan ditahan di sekitar Lembah Klang selepas dikesan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebulan dan tiada perlindungan insurans.

"Selain itu, JPJ juga mengesan kenderaan mewah itu mempamerkan nombor kenderaan lain. Dia (pakar motivasi) itu sebenarnya sudah membuat pertukaran nombor pendaftaran kenderaan ini namun masih menggunakan nombor yang lama dan ini adalah satu kesalahan," ujarnya.

Hadir sama, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.

**media[3531818]**

Menerusi Op Luxury itu, JPJ turut mengesan kesalahan LKM tamat tempoh paling lama ialah 1 Januari 2025 manakala LKM paling mahal tidak dibayar ialah RM16,000 bagi kenderaan jenis Porshe.

"Sehingga kini (Sabtu), JPJ merekodkan sebanyak 1,814 buah sitaan kenderaan mewah dengan 899 buah sitaan direkodkan pada tahun 2025 manakala 915 buah disita tahun ini.

"Antara jenis kenderaan mewah yang dikesan termasuk Porsche dan Lamborghini, selain beberapa jenis premium lain yang dikenal pasti gagal memperbaharui LKM," katanya.

Tambah Jazmanie, kegagalan memperbaharui LKM merupakan satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Jelasnya, mana-mana kenderaan yang digunakan di jalan raya tanpa LKM sah boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun dan sitaan tanpa sebarang kompromi.

Katanya lagi, selain melanggar undang-undang, penggunaan kenderaan tanpa LKM yang sah turut mengundang risiko besar kepada pemilik serta pengguna jalan raya lain kerana kenderaan berkenaan berisiko tidak dilindungi insurans sekiranya berlaku kemalangan.

"JPJ memandang serius isu ketidakpatuhan ini dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui operasi berfokus, pemantauan lapangan serta pengesanan secara digital bagi memastikan setiap pemilik kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan," ujarnya.

Tegasnya, orang ramai khususnya pemilik kenderaan mewah disaran segera membuat semakan dan memperbaharui LKM masing-masing melalui saluran rasmi JPJ termasuk aplikasi MyJPJ dan portal MySikap bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

View Original Article