Velocity Capital jual keseluruhan 6.46% ekuiti dalam MMAG bernilai RM9.43 juta elak risiko penurunan lanjut

LocalBusiness & Finance
13 Jan 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Velocity Capital jual keseluruhan 6.46% ekuiti dalam MMAG bernilai RM9.43 juta elak risiko penurunan lanjut image is not available haziq13/01/2026 - 15:20 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Jan – Velocity Capital Partner Bhd menjual keseluruhan 6.46% pegangannya dalam MMAG Holdings Bhd dengan nilai RM9.43 juta, berikutan kebimbangan terhadap pendedahan kepada risiko penurunan lanjut susulan pergerakan harga saham MMAG yang berterusan lemah.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Velocity Capital memaklumkan pelupusan itu dibuat melalui pasaran terbuka melibatkan 32.6 juta saham bersamaan 1.4% pegangan pada 9 Januari dengan hasil RM2.12 juta serta 117.4 juta saham atau 5.06% pegangan pada 12 Januari bernilai RM7.306 juta.

 

Secara keseluruhan, pelupusan tersebut melibatkan 150 juta saham atau 6.46% pegangan dalam MMAG, yang diperoleh Velocity Capital pada Mac 2025 pada harga 40 sen sesaham dengan kos pelaburan RM60 juta.

 

Harga pelupusan pada 9 Januari adalah pada paras pasaran 6.5 sen sesaham, manakala jualan pada 12 Januari dilaksanakan pada harga purata 6.224 sen sesaham, iaitu premium 3.73% berbanding harga penutupan MMAG pada 12 Januari iaitu 6 sen.

 

Susulan pelupusan itu, Velocity Capital mencatatkan kerugian nilai saksama RM50.25 juta ke atas pelaburan berkenaan serta kerugian tambahan RM324,024 berbanding nilai bawaan setakat 9 Jan.

 

Menjelaskan rasional pelupusan, Velocity Capital berkata syarikat telah menilai dengan teliti keadaan pasaran serta pergerakan menurun berterusan harga saham MMAG, dan mendapati mengekalkan pelaburan tersebut akan mendedahkannya kepada risiko penurunan lanjut.

 

Menurutnya, pelaburan strategik yang dibuat pada Mac 2025 bertujuan mengukuhkan kerjasama perniagaan sedia ada antara cabang pengangkutan dan logistik kumpulan, Line Haul Sdn Bhd, dengan unit MMAG, Line Clear Express Sdn Bhd.

 

“Bagaimanapun, susulan keadaan pasaran yang tidak menggalakkan dan turun naik berterusan harga saham MMAG, nilai pelaburan kumpulan merosot dengan ketara,” katanya.

 

Velocity Capital turut memaklumkan pengarah eksekutifnya, See Toh Kean Yew, kini merupakan ahli lembaga MMAG sebagai pengarah bukan eksekutif dan tidak berkepentingan mewakili lembaga Velocity Capital.

 

Pelupusan itu juga menyusuli perubahan besar pegangan saham MMAG baru-baru ini.

 

Pada awal bulan ini, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak telah melupuskan 462 juta saham atau 20.16% pegangan kepada Future Star Sdn Bhd, sebuah syarikat pegangan berpangkalan di Pulau Pinang milik Cheah Min Lly.   - DagangNews.com

Terkini featured standard