
CARACAS: Venezuela dan Israel bersetuju untuk memulihkan semula perkhidmatan konsular di negara masing-masing, menurut kedua-dua kerajaan semalam.
Langkah itu menandakan perubahan drastik dalam geopolitik negara di Amerika Selatan itu selepas ia memutuskan hubungan dengan Israel pada 2009.
Venezuela yang menamatkan hubungan diplomatik 17 tahun lalu susulan serangan Israel ke atas Gaza, kini memperkukuh hubungannya dengan Washington yang merupakan sekutu Israel, terutamanya selepas Amerika Syarikat (AS) menangkap Presiden Nicolas Maduro pada Januari lalu.
Perkembangan ini sekali gus menjarakkan Venezuela daripada hubungan lamanya dengan Iran.
Kerajaan Venezuela yang kini dipimpin oleh Presiden sementara, Delcy Rodriguez, menyatakan satu delegasi kemanusiaan Israel melawat negara itu berikutan kejadian gempa bumi yang mengorbankan nyawa pada Jun lalu.
Perbincangan yang melibatkan pegawai kanan dari kedua-dua negara diadakan seterusnya membawa kepada pementeraian perjanjian pemulihan perkhidmatan konsular tersebut.
“Kedua-dua kerajaan mengiktiraf kepentingan hubungan antara Israel dan komuniti Yahudi di Venezuela yang membentuk jambatan persahabatan bersejarah yang penting antara kedua-dua negara,” kata kerajaan Venezuela dalam satu kenyataan yang turut dikeluarkan oleh Kementerian Luar Israel.
Selama bertahun-tahun, Iran merupakan sekutu rapat Venezuela yang juga rakan pengeluar minyak global yang pernah menerima nasib sama di bawah sekatan ekonomi AS serta bertindak mengecam campur tangan terkini Washington di Caracas.- AGENSI
The post Venezuela ‘berbaik’ dengan Israel selepas 17 tahun appeared first on Utusan Malaysia.





