Verdant Solar meterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities, bakal disenaraikan di Pasaran ACE

08/09/2025 - 15:19
Pengarah Urusan Verdant Solar, Lim Tzer Haur (kiri) bertukar dokumen bersama Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan semasa majlis pemeteraian perjanjian taja jamin bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Sept - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta operasi dan penyelenggaraan (O&M) sistem solar fotovoltaik (PV), Verdant Solar Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.
Kumpulan itu menyasarkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE pada Oktober 2025.
IPO yang dicadangkan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 142 juta saham baharu dengan Mercury Securities menjamin sebanyak 65,881,000 saham terbitan yang merangkumi 40,881,000 saham terbitan bagi bahagian yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian dan 25,000,000 saham terbitan diperuntukkan untuk permohonan oleh pengarah, kakitangan serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Verdant dan anak-anak syarikatnya.
Baki sebanyak 76,119,000 saham terbitan pula akan diagihkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Selain itu, IPO itu juga melibatkan tawaran penjualan 73,586,000 saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Sebagai kontraktor EPCC, Verdant terlibat penyampaian menyeluruh projek pasang siap (turnkey) sistem solar PV: bermula daripada reka bentuk dan kejuruteraan awal, perolehan peralatan, pemasangan di tapak, ujian dan pentauliahan, sehinggalah ke perkhidmatan O&M selepas jualan melalui aplikasi Verdant Home App.
Perkhidmatan lain termasuk perdagangan produk solar, termasuk jenama dalaman sistem pengudaraan solar, Verdant Star.
Hasil daripada IPO akan digunakan bagi membiayai pengembangan perniagaan syarikat, termasuk penubuhan pejabat cawangan di Melaka, Kuantan dan Ipoh bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan di kawasan tersebut; pelaburan strategik, peluang penggabungan dan pengambilalihan; serta penambahbaikan infrastruktur digital bagi memperkukuh kecemerlangan operasi.
Baki akan digunakan untuk modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Verdant Solar, Lim Tzer Haur berkata, pemeteraian perjanjian itu menandakan bahagian baharu dalam perjalanan kumpulan.
Beliau berkata, sejak 2015, perjalanan Verdant telah ditakrifkan oleh pengalaman kami dalam menyampaikan projek sistem solar PV berkualiti tinggi untuk kediaman, yang telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan dan reputasi kumpulan sebagai penyedia rumusan dan perkhidmatan solar menyeluruh yang dipercayai.
"IPO ini bukan sahaja akan mengukuhkan asas kami tetapi juga meningkatkan keupayaan kumpulan untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan dan pemegang kepentingan. Melangkah ke hadapan, kami kekal komited dalam merealisasikan visi menjadikan tenaga mampan lebih mudah diakses serta memberi impak kepada komuniti di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.
Mercury Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal serta ejen penempatan tunggal bagi IPO.- DagangNews.com
standard
