Malacca Securities menilai harga saham JS Solar yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 45 sen

LocalBusiness & Finance
3 Sep 2025 • 3:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malacca Securities menilai harga saham JS Solar yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 45 sen

image is not available

03/09/2025 - 15:35

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Sept - Malacca Securities memberikan nilai wajar kepada JS Solar Holding Berhad pada 45 sen sesaham.

Penilaian tanpa penarafan itu adalah 45.2% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 31 sen sesaham dengan kumpulan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 September 2025.

"Kami mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15.3x berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) FY27.

"Kami percaya pegangan pasaran JS Solar akan terus berkembang, disokong rancangan kumpulan untuk menubuhkan pejabat jualan dan sokongan di Muar dan Kota Kinabalu," katanya dalam satu nota kajian.

Kumpulan itu mempunyai tumpuan hasil kepada pelanggan utamanya, GSPARX Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB), mencerminkan peranan kumpulan sebagai antara rakan tidak langsung yang penting dalam pelaksanaan sistem solar fotovoltaik (PV) bumbung negara.

Katanya, JS Solar merupakan vendor Strategic Partner as System Installer (SPSI) berdaftar dengan GSPARX, ia membolehkan mereka mengambil bahagian dalam tender bagi mana-mana projek sistem solar PV di seluruh Semenanjung Malaysia yang dianugerahkan.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang menubuhkan pejabat jualan dan sokongan di Kota Kinabalu bagi memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) Sabah yang sedang berkembang, disokong oleh inisiatif seperti SELCO-PV Sabah dan LSS-Sabah 2024.

Dengan rekod pencapaian cemerlang di Semenanjung Malaysia serta projek 5.9MWac Tawau yang sedang berjalan, pengembangan ini akan meningkatkan keterlihatan tempatan, memperbaiki masa tindak balas perkhidmatan, serta membuka peluang perniagaan baharu di Sabah dan Malaysia Timur.

"Kumpulan ini juga berdaftar dengan pihak berkuasa utama, termasuk SEDA sebagai penyedia perkhidmatan solar PV, CIDB sebagai kontraktor Gred 7 (saiz projek tanpa had), dan Suruhanjaya Tenaga sebagai Kontraktor Elektrik Kelas A (tiada had voltan atau kapasiti).

"Kelayakan ini meletakkan kumpulan dalam kedudukan untuk mengendalikan projek solar PV yang besar dan kompleks di Malaysia," katanya.

Setakat 31 Julai 2025, buku tempahan JS Solar berjumlah RM39.7 juta, merangkumi hasil yang belum diiktiraf daripada projek EPCC, kontrak, dan O&M yang sedang berjalan.

Majoriti (93.6%) dijangka direalisasikan dalam tahun kewangan 2026 (FY26), dengan bakinya mengalir ke tahun kewangan berakhir 2027 (FY27) dan seterusnya, sekali gus memberikan sedikit jaminan pendapatan dalam tempoh terdekat.- DagangNews.com

standard