Vesel Indonesia ceroboh perairan Pulau Pinang, lima kru ditahan

14 Aug 2026 • 5:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Vesel Indonesia ceroboh perairan Pulau Pinang, lima kru ditahan
Lima kru warga Indonesia turut ditahan dalam operasi yang dijalankan pada Khamis.

GEORGE TOWN – Sebuah vesel nelayan asing dari Indonesia tanpa nombor pendaftaran ditahan selepas dipercayai menceroboh perairan Malaysia dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran pada Khamis.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, vesel berkenaan ditahan ketika Kapal Maritim (KM) Semilang sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan negara.

Menurutnya, pihaknya mengesan sebuah vesel mencurigakan sedang berapung sebelum menghampiri dan menjalankan pemeriksaan terhadap vesel berkenaan.

“Vesel itu diperiksa kira-kira 38 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada jam 11.20 pagi. Hasil pemeriksaan mendapati vesel kayu tanpa nombor pendaftaran itu berasal dari Pantai Labu, Medan, Indonesia dan dikendalikan lima kru berusia antara 17 hingga 44 tahun.

“Mereka terdiri daripada seorang tekong dan empat awak-awak yang kesemuanya merupakan warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Muhammad Suffi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain tidak mempunyai dokumen atau kebenaran sah untuk memasuki Malaysia.

Tambah beliau, mereka turut disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Kesemua kru ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan membabitkan vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut berjumlah kira-kira RM3 juta," ujarnya.

Menurut beliau lagi, tangkapan terbaharu ini menjadikan keseluruhan lima vesel nelayan asing telah ditahan oleh Maritim Malaysia Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

"Ia hasil tindakan penguatkuasaan berterusan di perairan negara.

"Vesel bersama kesemua kru, peralatan menangkap ikan dan hasil rampasan kemudian diiringi ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Suffi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pencerobohan vesel asing serta sebarang pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

“Rondaan dan pengawasan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram sekali gus mempertahankan kedaulatan negara dan memelihara kelestarian sumber marin.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved