
Lima kru Indonesia ditahan bawah Akta Imigresen dan Akta Perikanan selepas vesel tanpa nombor pendaftaran dikesan menangkap ikan haram.
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) dari Indonesia yang disyaki menceroboh dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara, semalam.
Pengarah APMM Pulau Pinang Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata VNA itu dikesan Kapal Maritim (KM) Semilang ketika melakukan rondaan rutin di kedudukan 38 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini pada 11.20 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel kayu tanpa nombor pendaftaran itu dari Pantai Labu, Medan, Indonesia dan dikendalikan oleh lima kru berumur antara 17 hingga 44 tahun yang terdiri daripada seorang tekong serta empat awak-awak yang kesemuanya warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, tidak mempunyai kebenaran memasuki Malaysia serta disyaki menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran.
Muhammad Suffi berkata nilai keseluruhan rampasan membabitkan vesel, peralatan menangkap ikan dan hasil laut dianggarkan kira-kira RM3 juta, manakala kesemua kru ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Perikanan 1985.
Beliau berkata vesel berkenaan bersama kesemua kru, peralatan menangkap ikan dan hasil rampasan kemudian diiringi ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Katanya, tangkapan terbaharu itu menjadikan keseluruhan VNA yang ditahan APMM Pulau Pinang bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini sebanyak lima buah.



