
Selepas 14 tahun mengembangkan perniagaan merentasi beberapa sektor industri, VFive Group Sdn Bhd (VFive Group) diiktiraf sebagai antara 50 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terbaik di Malaysia menerusi Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026.
Pengiktirafan itu diberikan pada majlis anugerah berkenaan di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, di sini, baru-baru ini.
Anugerah disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, pengiktirafan itu mencerminkan perkembangan syarikat sejak penubuhannya.
“Ia termasuk usaha memperluas bidang perniagaan dan meningkatkan keupayaan organisasi untuk menghadapi persaingan industri,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan turut menghargai sumbangan warga kerja yang bersama-sama membangunkan syarikat daripada sebuah perniagaan kecil, kepada kumpulan yang mempunyai kepentingan dalam beberapa sektor.
“Sepanjang operasinya, VFive Group mengembangkan penglibatan dalam bidang pembinaan, pengurusan fasiliti, teknologi maklumat, pembangunan hartanah dan konsesi serta tenaga boleh baharu,” katanya.
Jelas Syafiq, syarikat akan terus memperkukuh operasi sedia ada selain meneroka peluang pertumbuhan dalam sektor berpotensi tinggi, khususnya teknologi dan tenaga boleh baharu.
“Usaha berkenaan turut merangkumi peningkatan kecekapan pengurusan, pembangunan modal insan dan peluasan kerjasama strategik bagi menyokong perancangan jangka panjang syarikat,” katanya.
Anugerah E50, yang diperkenalkan pada 1997, dianjurkan SME Corp Malaysia di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mengiktiraf syarikat tempatan berprestasi tinggi dan berdaya saing.
Pemilihan penerima dibuat berdasarkan beberapa kriteria, termasuk kedudukan kewangan, pertumbuhan hasil, penggunaan teknologi digital dan e-dagang serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Penilaian turut melibatkan proses verifikasi dan pengesahan panel juri bebas.
Bertemakan Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia, E50 2026 turut memberi penekanan kepada peluang eksport dan peluasan rangkaian perniagaan antarabangsa menerusi Persidangan Eksport E50 serta Sesi Padanan Perniagaan E50. - Getaran, 19 Oktober 2026






