
KUALA LUMPUR – Pengiktirafan sebagai antara 50 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terbaik Malaysia menerusi Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026 menjadi pemangkin kepada VFive Group Sdn. Bhd. untuk memperluas pertumbuhan perniagaan, khususnya dalam sektor teknologi dan tenaga boleh baharu.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd. Syafiq Abdullah berkata, syarikat akan terus memperkukuh sektor perniagaan sedia ada sambil meneroka bidang berpotensi tinggi sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang.
Menurut beliau, pengiktirafan berkenaan mengukuhkan komitmen syarikat untuk membangunkan perniagaan yang berdaya saing, berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.
“Pengiktirafan E50 ini bukan sekadar pencapaian korporat, tetapi juga penghargaan terhadap komitmen seluruh warga kerja yang telah menyumbang kepada perkembangan VFive Group selama ini,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu turut memberikan dorongan kepada syarikat untuk terus meningkatkan keupayaan perniagaan dan memastikan setiap langkah pengembangan dilaksanakan berasaskan pertumbuhan mampan.
Mohd Syafiq berkata, perjalanan tersebut turut membentuk keupayaan syarikat untuk menghadapi cabaran dan meningkatkan daya saing dalam persekitaran industri yang semakin mencabar.
“Daripada sebuah syarikat kecil, kami terus membina kepakaran, memperluas bidang perniagaan dan meningkatkan keupayaan organisasi untuk bersaing dalam persekitaran industri yang semakin mencabar,” katanya.
Selain mengembangkan portfolio perniagaan, VFive Group turut memberi perhatian kepada kecekapan pengurusan, pembangunan modal insan dan peluasan kerjasama strategik.
Langkah itu bertujuan memastikan operasi syarikat kekal relevan serta mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan pasaran.
VFive Group menerima pengiktirafan E50 2026 yang disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, pada majlis di Renaissance Kuala Lumpur Hotel & Convention Centre, di sini Jumaat lalu.
Anugerah berkenaan dianjurkan SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi mengiktiraf syarikat tempatan yang mempunyai prestasi perniagaan, keupayaan pengurusan dan daya saing tinggi.
The post VFive Group fokus teknologi dan tenaga hijau appeared first on Kosmo Online.




