[VIDEO] 24,135 kes langgar had laju dikesan kamera AwAS dalam 17 hari

16 Mar 2026 • 4:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Mohd Misuari (kanan) mengadakan tinjauan di lokasi kamera AwAS yang dipasang di FT03 Seksyen 702 Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu di hadapan Istana Negeri diKota Bharu pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
image is not available
Sebanyak 24,135 kes pelanggaran had laju direkodkan melalui Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AwAS) di Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu di hadapan Istana Negeri di Kot Bharu dalam tempoh 17 hari.Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Sebanyak 24,135 kes pelanggaran had laju direkodkan melalui Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AwAS) di Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu di hadapan Istana Negeri di sini dalam tempoh 17 hari.

Jumlah pelanggaran tertinggi direkodkan pada 20 Februari iaitu sebanyak 1,771 kes, manakala jumlah terendah dicatatkan pada 5 Mac dengan 969 kes.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, kesalahan itu dikesan menerusi kamera AwAS yang dipasang di FT03 Seksyen 702 Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu dengan had laju ditetapkan 60 kilometer sejam.

**media[3465206]**

Menurut beliau, jumlah tersebut direkodkan sepanjang tempoh 17 Februari hingga 5 Mac lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 15,553 kes melibatkan kenderaan dari arah Kota Bharu manakala 8,582 kes lagi dari arah Kuala Terengganu.

"Statistik ini menunjukkan kadar pelanggaran had laju lebih tinggi dari arah Kota Bharu berbanding Kuala Terengganu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di lokasi kamera AwAS yang dipasang di FT03 Seksyen 702 Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu di sini pada Isnin.

Ujar beliau, secara purata, lebih daripada 1,400 kes pelanggaran had laju direkodkan setiap hari sepanjang tempoh pemantauan tersebut.

Mohd Misuari memberitahu, sehingga kini terdapat tiga unit kamera AwAS dipasang di Kelantan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya serta pematuhan terhadap undang-undang trafik.

Katanya, lokasi terawal dilengkapi sistem berkenaan ialah di KM17 Jalan Gua Musang–Kuala Krai dengan had laju 90 kilometer sejam.

"Sebuah lagi kamera AwAS akan dipasang dalam masa terdekat di KM116 Lebuh Raya Timur-Barat, Jalan Jeli–Grik.

"Kamera AwAS merupakan sistem penguatkuasaan automatik yang menggantikan sistem AES lama dan dilengkapi pelbagai ciri baharu termasuk Automated Number Plate Recognition (ANPR) serta keupayaan pemantauan sehingga 360 darjah," katanya.

Menurut beliau, sistem itu berfungsi mengesan pelanggaran had laju, kesalahan melanggar lampu isyarat, pusingan U tidak sah serta pemantauan persekitaran jalan raya.

Sehubungan itu, Mohd Misuari menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan selain memastikan keselamatan semua pihak.

"JPJ Kelantan akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan," katanya.