![Image from: [VIDEO] 3 wanita cemas, kereta terbakar di ‘basement’ City Square](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-06-at-7.10.30-PM.jpeg)
JOHOR BAHRU – Tiga wanita termasuk seorang warga Singapura mengalami sesak nafas selepas sebuah kereta terbakar di tingkat Basement 2, Johor Bahru City Square, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, kebakaran menyebabkan asap hitam tebal memenuhi kawasan parkir berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.40 petang sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta disertai asap hitam tebal di Basement 2.
“PKO kemudian menjalankan pemeriksaan awal (size up) di lokasi dan mendapati tiga mangsa mengalami sesak nafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, anggota bomba memberikan rawatan awal kepada kesemua mangsa di lokasi kejadian.
Seorang mangsa wanita berusia 48 tahun kemudian dihantar ke hospital menggunakan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin.
Dua lagi mangsa terdiri daripada wanita berusia 35 tahun serta seorang wanita warga Singapura yang turut mengalami sesak nafas.
Operasi membabitkan 26 anggota daripada BBP Larkin dan BBP Tebrau dengan kekuatan jentera FRT-3 serta dua unit EMRS.-KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] 3 wanita cemas, kereta terbakar di ‘basement’ City Square appeared first on Kosmo Online.


![[KEMASKINI] 10 kenderaan musnah dijilat api di parkir JBCC](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-06-at-9.52.27-PM-1024x768.jpeg)



