![Image from: [VIDEO] Butik mewah Milan rugi besar, perusuh buat onar](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/Milan-1024x768.jpeg)
MILAN, Itali – Kawasan tumpuan beli-belah fesyen tinggi di tengah bandar raya ini bertukar menjadi medan huru-hara apabila sekumpulan perusuh bertopeng bertindak agresif menceroboh, merosakkan, dan menjarah barangan dari butik-butik mewah antarabangsa, semalam.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, kekacauan yang berlaku menyaksikan lokasi ikonik di sekitar Piazza del Duomo dan arked beli-belah eksklusif, Galleria Vittorio Emanuele II, musnah digeledah kumpulan perusuh bertopeng.
Kumpulan berkenaan didakwa mengeksploitasi protes aman rakyat berhubung isu kos sara hidup dan anti-peperangan.
Saksi di tempat kejadian melaporkan cermin-cermin pameran butik ternama dipecahkan sebelum kumpulan perusuh meluru masuk dan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk pakaian berjenama, kasut, dan beg tangan premium.
Memetik laporan media tempatan Il Sole 24 Ore, antara premis yang mengalami kerosakan teruk termasuk butik Nike di Corso Vittorio Emanuele yang paling awal dirosakkan.
Premis terkemuka La Rinascente, serta premis Foot Locker yang tingkapnya hancur berkecai akibat dirempuh perusuh.
Selain itu butik terkemuka Louis Vutton dan Hermes turut dirosakkan dan dicuri.
Bagi mengelakkan premis mereka menjadi sasaran penjarahan seterusnya, pekerja di puluhan butik mewah lain di kawasan fesyen terpaksa bertindak pantas menurunkan pengatup besi keselamatan dan mengunci pintu dari dalam, manakala ratusan pelancong asing bertempiaran melarikan diri.
Keadaan yang semakin tidak terkawal memaksa pasukan polis anti-rusuhan melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air bagi menyuraikan kumpulan perusuh bertopeng.
Beberapa kenderaan milik pihak berkuasa turut menjadi mangsa vandalisme dan dibakar di tengah jalan.
Agensi berita Itali, LaPresse melaporkan sekurang-kurangnya dua anggota polis cedera dalam pertempuran tersebut, manakala kira-kira 50 penunjuk perasaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menerusi kenyataan di media sosial menzahirkan kemarahan berhubung insiden berkenaan dan menegaskan bahawa tindakan membakar bandar serta merosakkan harta benda awam adalah jenayah berat yang tidak akan ditoleransi.
Insiden ganas ini mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan pemain industri fesyen dan peruncitan mewah di Milan, yang terkenal sebagai salah satu ibu kota fesyen utama dunia. -Agensi
The post [VIDEO] Butik mewah Milan rugi besar, perusuh buat onar appeared first on Kosmo Online.
