[VIDEO] Cadangan tambah baik, maklum balas operasi haji diteliti - Menteri Agama

Local
26 May 2026 • 1:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Cadangan tambah baik, maklum balas operasi haji diteliti - Menteri Agama
Image from: [VIDEO] Cadangan tambah baik, maklum balas operasi haji diteliti - Menteri Agama
Zulkifli (tengah) meninjau khemah penginapan jemaah haji Malaysia di Arafah. - Foto: TH
Image from: [VIDEO] Cadangan tambah baik, maklum balas operasi haji diteliti - Menteri Agama
Zulkifli (kanan) beramah mesra bersama salah seorang jemaah haji Malaysia. - Foto: TH

ARAFAH– Suasana hari wukuf di Arafah dimanfaatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan untuk menyantuni jemaah haji Malaysia sambil meninjau sendiri tahap kebajikan serta kemudahan yang disediakan kepada mereka di Tanah Suci.

Beliau meluangkan masa mengunjungi khemah penginapan jemaah di sini pada Selasa selain meninjau lokasi rawatan kesihatan yang disediakan sepanjang operasi masyair bagi memastikan keselesaan jemaah berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, pelbagai maklum balas diterima daripada jemaah berhubung operasi haji musim ini dan semua cadangan penambahbaikan akan diberi perhatian sewajarnya.

“Alhamdulillah kemudahan yang baik dan juga banyak maklum balas yang kami terima adalah sangat positif.

“Ada juga maklum balas yang konstruktif. Kita sudah ambil perhatian dan Insya-ALLAH kita akan laksanakan cadangan-cadangan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas lawatan berkenaan.

**media[3533296]**

Mengulas mengenai aspek kesihatan jemaah, beliau memuji komitmen petugas kesihatan yang disifatkan menjalankan tugas secara profesional dan sistematik dalam memberikan rawatan kepada jemaah yang memerlukan.

“Kita nampak bagaimana rawatan diberikan dengan begitu sistematik sekali. Mudah-mudahan semua jemaah yang diuji dengan kesihatan juga dapat menunaikan wukuf di Arafah dan menyempurnakan haji mereka dengan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hari Arafah merupakan detik paling besar dan bermakna bukan sahaja kepada jemaah Malaysia, malah seluruh umat Islam dari seluruh dunia yang berhimpun sebagai tetamu ALLAH. 

Beliau turut meminta rakyat Malaysia terus mendoakan kesejahteraan jemaah haji negara agar dikurniakan kesihatan, dipermudahkan segala urusan ibadah serta memperoleh haji yang mabrur.

 

View Original Article