
Zulkifli Tak Mampu Tahan Sebak, Menangis Baca Doa Ketika Khutbah Arafah
Ibadah haji kini sudah tiba di fasa kemuncak dan menyaksikan jutaan jemaah sudah berhimpun di Arafah, termasuk jemaah dari Malaysia.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan telah menyampaikan Khutbah Arafah di Padang Arafah pada Selasa.
Selain intipati khutbah itu yang penuh bermakna, momen ketika beliau memanjatkan doa turut membuatkan orang ramai merasa sebak.
Zulkifli dilihat menangis hiba ketika membacakan doa penuh harapan di depan para jemaah.

Beliau sebelum itu menasihati jemaah untuk memohon ampun, merintih bersungguh-sungguh serta bertaubat kepada Allah atas segala kekhilafan dan dosa lampau.
Jemaah juga dipesan agar meninggalkan segala amalan yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT dan mengubah diri menjadi insan yang lebih baik.
Baca juga:
Haji Bentuk Jiwa Rabbani, Asas Pembinaan Masyarakat MADANI
Zulkifli Hasan Sempat Santuni Jemaah Di Arafah, Tinjau Operasi Haji
Memulakan doa, Zulkifli menyedari bahawa beliau dan para jemaah merupakan hamba yang lemah di sisi Allah SWT.
"Ya Allah, di padang Arafah ini, kami sedar betapa kerdilnya kami dan betapa besarnya Engkau Ya Allah
"Kami sedar betapa lemahnya kami dan betapa sempurnanya Engkau, maka kami berserah seluruh hidup dan mati kami kepadaMu. sebagai seorang hamba yang ingin kembali kepada Tuhannya, dengan jiwa yang tenang, serta reda dengan ketentuanMu dan Engkau reda dengannya Ya Allah
"Ya Allah jadikanlah setiap titisan air mata di Arafah ini sebagai penyaksi keinsafan kami, setiap denyutan jantung ini sebagai lafaz tasbih kepadaMu dan setiap helaan nafas ini sebagai tanda kami tidak mampu hidup tanpa rahmatMu.
"Tulis nama kami dan keluarga kami dalam senarai hambaMu yang Engkau ampunkan pada hari ini dan jangan engkau biarkan kami pulang dengan tangan yang kosong," doanya sambil menitiskan air mata.

Zulkifli juga berdoa agar ibadah haji yang dilakukan mereka mabrur dan memberi makna yang membawa perubahan, menanamkan benih takwa dan menyuburkan amal.
"Jadikan kami insan baharu yang lebih baik selepas pulang dari sini, yang lebih sabar, yang lebih zuhud, yang lebih tawaduk serta tidak lagi berpaling daripada jalanMu walau setapak
"Terimalah rintihan dan doa kami Ya Allah. Terimalah doa kami Ya Allah," ujarnya.
Dalam khutbah itu, beliau juga berkata perhimpunan jutaan umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan latar belakang di Tanah Suci membuktikan bahawa perbezaan bukan penghalang kepada kesatuan, malah menjadi kekuatan dalam membina sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
"Ibadat haji yang merupakan madrasah tarbiah telah mengajar, mendidik dan menanam nilai karamah insan, prinsip keadilan dan kesaksamaan, erti toleransi dan empati, saling membantu dan saling menyayangi tanpa prejudis dan diskriminasi, mendidik manusia membina jiwa rabbani dan kekuatan rohani," katanya.



