![Image from: [VIDEO] ‘Clean as you go’, amalan lap meja kantin dipuji PMX](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/tular-viral-kantin-bersihkan-meja-1024x667.jpeg)
PETALING JAYA – Amalan murid mengelap meja selepas makan di sebuah kantin sekolah meraih pujian orang ramai yang menyifatkan usaha itu mampu mendidik anak-anak menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @syamillhalek, pihak sekolah menyediakan kain pengelap dan semburan pembersih untuk digunakan oleh murid bagi membersihkan meja selepas mereka selesai makan.
Menurutnya, amalan dikenali sebagai ‘clean as you go’ itu diharapkan dapat memberi kesan positif kepada murid-murid supaya membesar dengan nilai murni yang baik.
Perkongsian itu turut mendapat respons daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memuji usaha mendidik murid dengan menerapkan nilai murni sejak kecil.
“Melentur buluh sedari rebung. Moga jadi anak-anak baik yang berjaya dan berdisiplin, insya-Allah,” komennya.
“Dulu exchange student (pelajar pertukaran) di Osaka, inilah yang saya ingat sampai hari ini. ‘Clean as you go, clean after yourself, clean when there is a mess’.
“Satu sekolah di Jepun tiada pekerja pembersihan kerana pelajar ada jadual untuk membersihkan kawasan masing-masing. ‘Good teachings,’ cikgu!” balas seorang pengguna media sosial.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan turut memuji usaha tersebut yang disifatkan sebagai contoh baik kepada masyarakat.
Menurutnya, kebersihan bukan sahaja tuntutan dalam kehidupan seharian, malah sebahagian daripada asas keimanan seorang Muslim.
“Allah Subhanahu wa-Ta’ala sangat mencintai kebersihan, kekemasan dan keindahan,” katanya.
Amalan tersebut bukan sahaja membantu memastikan kantin sentiasa bersih, malah mendidik pelajar supaya menghargai kemudahan awam dan tidak mengharapkan orang lain untuk mengemas tempat yang digunakan mereka. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] ‘Clean as you go’, amalan lap meja kantin dipuji PMX appeared first on Kosmo Online.



