[VIDEO] Demi balas jasa Onn Hafiz, pesara berbaju BN sanggup datang dari Selangor

LocalPolitics
27 Jun 2026 • 10:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Demi balas jasa Onn Hafiz, pesara berbaju BN sanggup datang dari Selangor
Image from: [VIDEO] Demi balas jasa Onn Hafiz, pesara berbaju BN sanggup datang dari Selangor
Alias sanggup datang dari Selangor untuk memberi sokongan kepada Onn Hafiz.
Image from: [VIDEO] Demi balas jasa Onn Hafiz, pesara berbaju BN sanggup datang dari Selangor
Alias (kanan) turut hadir memberi sokongan kepada Onn Hafiz di perkarangan Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam, Kluang.

KLUANG – Mengenakan baju Barisan Nasional (BN) yang ditempah khas, seorang pesara dari Selangor sanggup menempuh perjalanan ke Johor bagi memberi sokongan kepada parti serta calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

**media[3563809]**

Alias Samad, 68, dari Kampung Asam Jawa, Klang, berkata, dia tiba di Johor sejak Khamis lalu dan menginap di sebuah hotel di bandar Kluang sebelum menghadiri proses penamaan calon pada Sabtu.

Bapa kepada 12 orang anak itu berkata, dia berada di perkarangan Pusat Penamaan Calon DUN Machap di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam seawal jam 7 pagi bagi memastikan tidak terlepas menyaksikan suasana hari penamaan calon.

Menurut Alias, kehadirannya bukan atas arahan mana-mana pihak, sebaliknya dilakukan secara sukarela.

"Saya datang untuk membalas jasa Onn Hafiz yang pernah turun padang membantu kempen Barisan Nasional (BN) di Sungai Tawar, Sabak Bernam, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 2022.

"Hari ini pula giliran saya hadir memberi sokongan kepada Onn Hafiz," katanya ketika ditemui pada Sabtu.

**media[3563810]**

Sebelum itu, Onn Hafiz tiba di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam pada jam 8.55 pagi, diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dalam pada itu, Alias berkata, keseluruhan kos perjalanan, penginapan dan perbelanjaan sepanjang berada di Johor dianggarkan sekitar RM500.

Malah, beliau turut menempah baju khas yang memaparkan imej topi cef untuk dipakai pada hari penamaan calon dengan kos sekitar RM50.

"Walaupun sudah bersara, semangat untuk terus menyokong perjuangan parti tidak pernah luntur.

"Setiap penyokong mempunyai peranan tersendiri dalam memberi suntikan semangat kepada calon yang bertanding.

"Saya harap kehadiran penyokong dari pelbagai negeri dapat meningkatkan lagi semangat jentera parti sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved