
JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan memperkenalkan Pelan Tindakan Kawalan Haiwan Terbiar 2027-2031 bagi menangani isu anjing liar secara lebih menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelan tersebut bagi memastikan isu anjing liar tidak lagi ditangani secara bersendirian oleh mana-mana agensi.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan melihat keperluan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus di peringkat kampung bagi membolehkan tindakan terhadap anjing liar dilaksanakan dengan lebih tersusun.
“Sudah sampai masa kita melihat isu anjing di luar bandar ini secara keseluruhan dengan melibatkan jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk duduk bersama dan mengeluarkan satu SOP di peringkat kawasan kampung.
“Jadi, apabila timbul isu anjing liar, kita sudah ada kaedah dan tindakan yang jelas untuk dilaksanakan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.
Mohd Jafni berkata, isu berkenaan turut perlu diberi perhatian kerana sebahagian kawasan luar bandar bukan berada dalam kawasan PBT yang dikenakan cukai, sekali gus tidak mempunyai perkhidmatan tangkapan anjing secara bulanan seperti di kawasan pentadbiran PBT.
Katanya, kerajaan negeri bagaimanapun sudah mengadakan penyelarasan membabitkan Jabatan Veterinar, PBT, Pejabat Tanah, ketua kampung dan pemimpin masyarakat bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah berkenaan.
Kerajaan negeri turut akan meneliti pendekatan vaksinasi dan pemandulan anjing liar bagi mengawal populasi haiwan berkenaan, selain mengurangkan risiko penyakit termasuk rabies.
“Untuk anjing liar, kita perlu bincangkan bagaimana kita boleh vaksin dan pada masa sama melakukan pemandulan supaya pembiakan tidak berlaku secara tidak terkawal.
“Pada masa sama, kita perlu ada peruntukan dan bajet pendidikan untuk memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pemilikan serta penjagaan anjing,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Johor rangka pelan tindakan kawalan haiwan terbiar tangani isu anjing liar appeared first on Kosmo Online.






