[VIDEO] DUN Melaka bubar esok – Ab. Rauf

LocalPolitics
22 Sep 2026 • 3:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] DUN Melaka bubar esok – Ab. Rauf

MELAKA – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sah dibubarkan berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam bagi memaklumkan kedudukan DUN negeri sebelum memohon perkenan pembubaran.

“Sukacita saya memaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka telah berkenan bagi Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok pada 23 September 2026.

“Dengan pembubaran ini esok, maka berakhirlah penggal Dewan Undangan Negeri Melaka dan proses seterusnya akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya pada sidang khas di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Beliau berkata, pembubaran DUN Melaka bagaimanapun tidak bermakna segala urusan kerajaan negeri akan terhenti.

“Pentadbiran negeri, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan akan terus berjalan seperti biasa.

“Selepas pembubaran ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan tanggungjawab dalam kapasiti sebagai Kerajaan Sementara atau Caretaker Government sehingga sebuah Kerajaan Negeri dibentuk selepas proses pilihan raya,” katanya.

Ab. Rauf berkata, sepanjang tempoh berkenaan, keutamaan kerajaan adalah memastikan pentadbiran negeri kekal teratur, perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu dan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Ujar beliau, semua jabatan, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing secara profesional berdasarkan undang-undang, peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa.- KOSMO! ONLINE

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved