[VIDEO] Elmina Bronco tarik minat komuniti setempat sertai ragbi

8 Sep 2024 • 5:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

image is not available
Pasukan bawah 11 tahun Elmina Bronco (jersi oren) memberikan saingan kepada pasukan KL Tigers dalam perlawanan liga pada Ahad. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

image is not available
Penyerang KL Tigers diasak oleh pertahanan Elmina Bronco. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

image is not available
Mohd Jazri (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Eznan Fahim pada perlawanan persahabatan anjuran Elmina Bronco pada Ahad. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

image is not available
Mohd Amie

BAGI memupuk penglibatan komuniti dalam sukan, pelbagai kaedah digunakan bagi menarik penyertaan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, penubuhan kelab sukan dilihat mampu memberikan impak dalam pengukuhan jasmani dan rohani masyarakat berbilang bangsa.

Mendepani usaha berkenaan, Kelab Ragbi Elmina Bronco yang ditubuhkan sejak setahun lalu berjaya menarik penyertaan komuniti di sekitar Elmina, Bukit Jelutong dan Denai Alam.

Timbalan Presidennya, Eznan Fahim Mohamed Fahim berkata, buat permulaan kelab berkenaan sudah berjaya membentuk pasukan bawah 11 tahun untuk menyertai perlawanan liga.

Menurutnya, setakat ini penyertaan terbuka untuk mereka yang tinggal di kawasan kejiranan berkenaan meliputi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun yang asalnya bermula daripada Rugby For Kids (RFK).

“Elmina Bronco telah didaftarkan sebagai pertubuhan dan kini fokus utamanya adalah untuk memberi saingan dalam perlawanan liga melibatkan enam pasukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, meskipun terpaksa berhadapan dengan lawan yang jauh lebih berpengalaman, namun kelab itu tetap berbangga kerana pasukan sudah menampakkan kematangan kerana dilatih oleh mereka yang berpengalaman.

Sementara itu Ketua Jurulatihnya, Mohd Amie Rashidi berkata, kelab berkenaan menjalani latihan tiga kali seminggu.

“Dua hari latihan fizikal di pusat gimnasium manakala pada setiap Sabtu akan diadakan latihan berpasukan,” katanya,

Tambahnya, silibus latihan kelab itu adalah mengikut modul latihan yang diiktiraf oleh World Rugby.

“Kita mahu pasukan yang benar-benar bersedia kerana ragbi adalah permainan yang dapat membina mental dan fizikal pemain,” katanya.

Terbaharu, kelab berkenaan telah mendapat tajaan daripada Syarikat Mahsuri Dagang Sdn Bhd.

Ketua Komersil Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, pihaknya menaja kelab berkenaan dari segi kewangan.

“Mahsuri kini memberi fokus kepada aktiviti riadah sukan dan kini merupakan rakan dan penaja kepada Elmina Bronco Rugby Club,” katanya.