[VIDEO] Exco Kedah dipecat teruskan tugas seperti biasa - Dzowahir

LocalPolitics
13 May 2026 • 6:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Exco Kedah dipecat teruskan tugas seperti biasa - Dzowahir
Image from: [VIDEO] Exco Kedah dipecat teruskan tugas seperti biasa - Dzowahir
Dzowahir Ab Ghani

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani yang dikenakan tindakan disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan terus menjalankan tugas seperti biasa sementara menunggu proses rayuan.

**media[3519727]**

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah itu berkata, setakat ini, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri.

“Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi tadi menunjukkan kebijaksanaan dan hikmah yang telah disampaikan oleh pucuk pimpinan kerajaan negeri.

“Saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri kerana masih memberi kepercayaan dan mengambil satu keputusan yang penuh dengan kebijaksanaan dan hikmah,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Dzowahir berkata, beliau bersama pimpinan kerajaan negeri tidak berdepan sebarang masalah dan akan terus memberi tumpuan kepada tugas masing-masing.

“Kami di sini tidak ada masalah apa-apa. Kami sama-sama menjalankan tugas masing-masing, menjaga amanah demi rakyat serta kesejahteraan dan kemakmuran negeri yang kita cintai ini.

“Insya-ALLAH, dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh rakyat serta pucuk pimpinan negeri, saya akan terus menjalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu memberi tumpuan kepada politik sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

“Kita kena fikir kepada masalah rakyat, jangan terlalu banyak politik. Kita dipilih oleh rakyat, maka kita jalankan amanah demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya, Dzowahir memaklumkan beliau telah mengemukakan rayuan kepada parti dalam tempoh ditetapkan.

“Terpulang kepada pihak lembaga rayuan nanti untuk menimbang dan membuat keputusan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada ADUN lain yang turut dikenakan tindakan akan mengemukakan rayuan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi bahawa pentadbiran kerajaan negeri Kedah berjalan seperti biasa walaupun beberapa ADUN Bersatu di negeri itu dikenakan tindakan disiplin parti.

Muhammad Sanusi menegaskan, pihaknya sedang menunggu proses rayuan dikemukakan ADUN tersebut mengikut prosedur parti Bersatu.

“Mereka diberi peluang untuk membuat rayuan dan saya difahamkan setiap ADUN yang dikenakan tindakan boleh merayu dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan Dzowahir dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.