TANAH MERAH - [DIKEMAS KINI] Pengasas Gerakan Reset, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sabtu mengumumkan penubuhan sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Wawasan Negara yang akan menjadi wadah politik di bawah gerakan tersebut.
Bekas Ketua Pembangkang itu berkata, parti berkenaan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada minggu hadapan.
Katanya, nama parti berkenaan diberikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ramai orang tanya mana parti Gerakan Reset, hari ini saya nak maklumkan parti ini diberi nama oleh Presiden Pas iaitu Parti Wawasan Negara.
“Parti kami baru dilahirkan dan tidak dijaga oleh ayahanda (Abdul Hadi Awang). Kami mahu bersama dengan Pas, Gerakan dan rakan-rakan.
“Kami akan bersama-sama bekerjasama membentuk kesefahaman dan kerjasama politik yang lebih komprehensif demi agenda masa depan rakyat serta negara,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Reset yang dirasmikan Abdul Hadi Awang di Kota Harmoni di sini pada Sabtu.
**media[3550023]**
Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai
Minggu lalu, Hamzah dilaporkan akan mengumumkan parti baharu pada berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan kekuatan politik yang lebih tersusun dan stabil dalam menghadapi cabaran semasa.
**media[3550022]**
Hampir 20,000 penuhi Konvensyen Reset
TANAH MERAH – Hampir 20,000 penyokong dari seluruh negara membanjiri Kota Harmoni di sini bagi menghadiri Konvensyen Reset Malaysia yang diadakan buat pertama kali pada Sabtu.
Kehadiran luar biasa itu menyaksikan kawasan tapak ekspo berkenaan mula dipenuhi peserta seawal jam 9 pagi dengan mengenakan pakaian serba putih sebagai simbol perpaduan dan kesepakatan.
**media[3550032]**
Ahli Parlimen Tanah Merah juga tuan rumah konvensyen, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, konvensyen sulung itu bakal menjadi catatan sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan penyokong daripada pelbagai latar belakang dalam satu program.
Menurut beliau, kehadiran besar tersebut membuktikan rakyat masih mahu melihat usaha penyatuan yang mampu membawa kestabilan dan masa depan lebih baik kepada negara.
**media[3550033]**
“Konvensyen hari ini akan menjadi satu catatan sejarah. Kehadiran peserta dari seluruh negara menunjukkan rakyat menyambut baik usaha penyatuan yang sedang digerakkan.
“Kami hadir bukan untuk bermusuh dengan sesiapa dan bukan juga untuk menyerang mana-mana pihak. Sebaliknya, kami berkumpul di sini bagi mengorak langkah ke arah penyatuan umat serta memperkukuhkan kesatuan orang Melayu dan Islam,” katanya ketika berucap pada konvensyen berkenaan.
Beliau berkata, usaha penyatuan tersebut tidak bermaksud mengenepikan kaum lain, sebaliknya bertujuan memastikan Malaysia terus kekal harmoni melalui semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Kami mahu memastikan negara ini terus aman dan harmoni. Pada masa sama, hubungan antara kaum perlu terus diperkukuhkan berasaskan rasa hormat dan persefahaman,” katanya.
**media[3550034]**
Ikmal turut menyifatkan kehadiran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dijadual merasmikan konvensyen berkenaan pada jam 4 petang itu sebagai satu penghormatan besar kepada semua penyokong.
Menurutnya, Abdul Hadi merupakan tokoh yang dihormati bukan sahaja sebagai seorang ulama, malah sebagai pemimpin politik yang berjaya membawa Pas mencapai pelbagai kejayaan sehingga menjadi antara parti paling berpengaruh di negara ini.
Program berkenaan turut menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan termasuk golongan profesional, belia, usahawan, aktivis masyarakat, komuniti Orang Asli serta peserta daripada pelbagai negeri.
**media[3550035]**
Turut hadir beberapa bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), antaranya Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Wan Saiful Wan Jan selain pimpinan Pas serta tokoh politik dari seluruh negara.
Hadir sama, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga Menteri Besar Terengganu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Gerakan Reset Malaysia yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin dilihat semakin mendapat perhatian apabila berjaya menghimpunkan ramai penyokong dalam konvensyen sulungnya di Tanah Merah.
Kehadiran besar itu dilihat memberi gambaran awal bahawa gerakan berkenaan mempunyai daya tarikan tersendiri serta berpotensi memainkan peranan penting dalam mencorakkan landskap politik negara pada masa hadapan.






