![Image from: [VIDEO] Hujan sangat lebat landa Lembah Klang, dua sungai tahap bahaya](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/photo-output-3-1024x767.jpeg)
PETALING JAYA – Hujan sangat lebat melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang petang tadi dengan taburan tertinggi direkodkan di Segambut Dalam, Kuala Lumpur iaitu sebanyak 73 milimeter (mm).
Berdasarkan maklumat menerusi portal Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), beberapa kawasan lain turut mencatatkan taburan hujan tinggi termasuk Kampung Sungai Tua di Empangan Batu, Gombak sebanyak 67.5mm, Ladang Edinburgh, Kuala Lumpur (66.5mm) dan Kampung Sungai Tua di Empangan Batu (F2) sebanyak 64.5mm.
Turut merekodkan hujan sangat lebat ialah Empangan Batu, Kuala Lumpur dengan bacaan 62mm, Taman Bukit Permata, Gombak (61mm) serta Segambut Bahagia TNB (51mm).
Selain itu, beberapa kawasan lain turut menerima hujan lebat termasuk Sungai Kayu Ara di Kampung Sungai Pencahala (40mm), Sungai Keroh di Komuter Segambut (47mm) dan Sungai Keroh di Taman Cuepacs (44mm).
Hujan lebat itu turut menyaksikan paras air di beberapa sungai sekitar ibu negara meningkat sehingga melepasi tahap bahaya.
Antaranya, Sungai Toba di Segambut Dalam yang merekodkan bacaan 47.59 meter pada pukul 7 malam ini, melebihi paras bahaya 47.1 meter sebanyak 0.49 meter.
Sungai Toba di Segambut Bahagia TNB turut melepasi tahap bahaya apabila mencatatkan bacaan 43.1 meter berbanding paras bahaya 42.8 meter, dengan kedua-dua stesen menunjukkan trend air menaik.
Sementara itu, Sungai Kayu Ara di Kampung Sungai Pencahala turut melepasi tahap amaran dengan bacaan 40.96 meter berbanding paras amaran 40.88 meter.
Beberapa lokasi lain di Kuala Lumpur turut mencatatkan paras air melebihi tahap waspada termasuk Sungai Keroh di Komuter Segambut dengan bacaan 37.11 meter dan Sungai Keroh di Taman Cuepacs (39.07 meter).
Di Empangan Batu, Gombak pula, tiga stesen pemantauan iaitu Sungai Batu, Sungai Bisul dan Sungai Tua turut merekodkan paras air melebihi tahap waspada dengan trend menaik.
Dalam pada itu, di Selangor, Sungai Rasau di Taman Desa Kemuning, Klang merekodkan bacaan 2.9 meter, melebihi paras amaran 2.8 meter, namun menunjukkan trend menurun.
Sungai Selangor di Kampung Lubuk Jaya, Kuala Selangor turut melepasi paras amaran dengan bacaan 2.01 meter, manakala Sungai Langat di Taman West Country Kajang, Hulu Langat mencatatkan bacaan 21.66 meter, melebihi tahap waspada 21.4 meter.– KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Hujan sangat lebat landa Lembah Klang, dua sungai tahap bahaya appeared first on Kosmo Online.






