Rakyat Palestin Hilang Tempat Berteduh Selepas Ribut Landa 70,000 Khemah Di Gaza

8 Nov 2026 • 5:52 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Rakyat Palestin Hilang Tempat Berteduh Selepas Ribut Landa 70,000 Khemah Di Gaza

BANDAR GAZA/ISTANBUL, 8 Nov (Bernama-Anadolu) -- Keluarga Palestin yang kehilangan tempat tinggal kini terpaksa berlindung di kawasan terbuka selepas hujan lebat dan angin kencang menyebabkan 70,000 khemah dilanda banjir di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut Pejabat Media Kerajaan, ribut yang bermula lewat Jumaat itu turut menyebabkan puluhan tembok runtuh.

Kerugian awal dianggarkan kira-kira US$3 juta.

Sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa lima rakyat Palestin cedera apabila dua tembok bangunan yang rosak akibat serangan Israel sebelum ini runtuh, selain sekeping kepingan logam jatuh ketika ribut melanda.

Jurucakap Perbandaran Gaza Hosni Muhanna memberitahu Anadolu bahawa keluarga yang khemah mereka rosak tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung.

Beliau berkata kira-kira sejuta penduduk dan individu yang kehilangan tempat tinggal kini tertumpu di kawasan seluas kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan Bandar Gaza, sekali gus menambahkan tekanan terhadap infrastruktur yang musnah akibat perang genosid Israel.

Muhanna berkata bandar itu menerima hujan sebanyak 60 milimeter dalam tempoh 12 jam, bersamaan kira-kira 15 peratus daripada jumlah hujan tahunan.

Air hujan membanjiri tempat perlindungan, manakala angin kencang menerbangkan sebahagian khemah dan mengoyakkan yang lain.

Pasukan perbandaran menerima 250 panggilan melaporkan jalan dinaiki air, hakisan dan saliran tersumbat.

Beliau berkata kebanyakan aduan berjaya ditangani menggunakan sumber terhad yang ada.

Muhanna turut memberi amaran bahawa 270 kem dan pusat perlindungan di Bandar Gaza berisiko dilanda banjir.

Kerosakan akibat perang menyebabkan keupayaan sistem saliran merosot kepada hanya 20 peratus, sekali gus menjadikan kawasan penempatan rendah lebih terdedah kepada banjir.

Beliau menggesa semua lintasan sempadan dibuka sepenuhnya bagi membolehkan bekalan musim sejuk, bantuan kemanusiaan dan jentera berat dibawa masuk ke Gaza.

Pengarah Perhubungan Awam Pertahanan Awam Gaza Abdullah al-Majdalawi memberitahu Anadolu bahawa pasukan penyelamat menerima ratusan panggilan kecemasan sejak ribut bermula.

Kebanyakan panggilan melibatkan khemah dan kem yang ditenggelami air, selain bangunan serta tembok yang berisiko runtuh menimpa tempat perlindungan.

Beliau berkata pasukan penyelamat mampu menangani ancaman segera terhadap nyawa, namun kekurangan sumber untuk menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa terjejas.

“Kami pergi menemui penduduk dan mendapati seluruh kawasan kem ditenggelami air termasuk khemah, penghuni, perabot dan tempat tidur mereka.

“Kami tidak mampu berbuat apa-apa apabila berdepan keadaan yang amat menyedihkan dan sukar ini di Gaza," kata al-Majdalawi.

Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Khamis memaklumkan bahawa 1.98 juta penduduk, atau kira-kira 94 peratus daripada populasi Gaza memerlukan tempat perlindungan dan bekalan keperluan asas lain berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada Jun.

Baca juga:

Pada Oktober, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa 950,000 rakyat Palestin tinggal di kawasan penempatan sementara yang berdepan risiko banjir sederhana atau tinggi, dengan lebih 400,000 berada di kawasan berisiko tinggi.

-- BERNAMA-ANADOLU

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved