![Image from: [VIDEO] Jepun panas… Dara, Amoi, Kelat bersungguh cari tempat teduh](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-22-at-6.45.58-PM-1024x660.jpeg)
PETALING JAYA – Tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat yang kini menghuni Zoo Tennoji di Osaka, Jepun, mencuri perhatian selepas kelihatan bersungguh-sungguh mencari kawasan teduh berikutan cuaca panas di negara berkenaan.
Menerusi siaran langsung seorang wanita menggunakan akaun TikTok, Cik Moji ketika mengadakan lawatan ke zoo berkenaan semalam, ketiga-tiga gajah itu dilihat berada berhampiran dinding kandang masing-masing, dipercayai untuk berlindung daripada bahang matahari.
Gelagat tersebut mengundang perhatian wanita berkenaan yang merakam keadaan tiga haiwan berkenaan ketika berada di kawasan pameran Zoo Tennoji.
“Panas (di Jepun), nampak kurus mereka semua (Dara, Amoi, Kelat). Tak ada makanan, cuba gantung rumput letak sana, tengok tu,” katanya wanita tersebut ketika sesi siaran langsung pagi tadi.
Cuaca di Osaka pagi tadi turut direkodkan dengan suhu maksimum sekitar 30 hingga 32 darjah Celsius, manakala suhu minimum 22 darjah Celsius.
Dara, Amoi dan Kelat merupakan tiga gajah Malaysia dari Zoo Taiping & Night Safari yang dibawa ke Zoo Tennoji pada Mac lalu menerusi program pemuliharaan gajah Malaysia.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila orang ramai mempertikaikan cara penjagaan pihak Zoo Tennoji apabila tular video Kelat kelihatan terlalu kurus.
Bagaimanapun, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dalam kenyataan menjelaskan bahawa Kelat mengalami penurunan berat badan kira-kira 100 kilogram (kg), namun susut berat badan itu berlaku ketika gajah jantan berada dalam fasa musth yang berterusan sejak 18 Ogos lalu.
Fasa musth ialah keadaan semula jadi yang berlaku pada gajah jantan dewasa yang menyebabkan haiwan itu mengalami perubahan hormon sangat tinggi terutama peningkatan testosteron.
Tambah MPT, Kelat kekal dalam keadaan baik dan stabil di sana, selain dilaporkan aktif serta terus memberikan kerjasama sepanjang sesi latihan di Zoo Tennoji. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Jepun panas… Dara, Amoi, Kelat bersungguh cari tempat teduh appeared first on Kosmo Online.


