KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin sebagai langkah progresif bagi menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh serta mengurangkan tekanan yang dihadapi ibu selepas melahirkan anak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu diperkenalkan susulan dapatan bahawa kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan wanita, khususnya berumur antara 25 hingga 39 tahun, menunjukkan sedikit penurunan, antaranya disebabkan komitmen materniti.
**media[3507728]**
Beliau berkata elaun itu akan diperkenalkan melalui pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan bertujuan memberikan sokongan kewangan tambahan kepada ibu yang memerlukan masa lebih panjang selepas tempoh cuti bersalin.
"Rasionalnya ialah kita tidak mahu setelah itu sepertimana yang berlaku selama ini, ibu merasakan terpaksa berhenti dan meninggalkan medan pekerjaan," kata beliau ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, di sini hari ini. - Bernama






