
KUALA LUMPUR – Pempengaruh popular dan usahawan makanan, Khairul Aming (KA) mengumumkan kejutan istimewa sempena pelancaran produk ketiganya, Rendang Nyet Berapi dengan menganjurkan giveaway percutian penuh tajaan ke New Zealand untuk lima pembeli terpantas.
Dalam pengumuman yang dibuat menerusi siaran video di laman instagramnya, KA menyatakan bahawa lima orang pembeli pertama yang membeli lima peket rendang pada malam pelancaran produk tersebut iaitu Jumaat ini bakal dipilih untuk menyertai beliau bercuti ke South Island, New Zealand pada bulan Oktober ini.
“Trip kali ni kita akan masak sama-sama, road trip, berhenti di tasik dan sungai yang cantik, mungkin tangkap salmon kalau sempat. Semua fully sponsor dan korang boleh bawa plus one,” katanya.
Menurut KA, bulan Oktober dipilih kerana musim bunga sedang berlangsung di New Zealand dengan pemandangan bunga yang mekar, langit cerah dan air berwarna biru, sesuai untuk aktiviti luar dan fotografi.
Menariknya, KA turut mendedahkan bahawa beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan Kedutaan New Zealand, selepas pertemuannya bersama Perdana Menteri negara itu tahun lalu. Beliau menyifatkan percutian ini juga sebagai usaha merapatkan hubungan antara rakyat Malaysia dan New Zealand.
Pelancaran produk dan sesi jualan akan berlangsung secara langsung di TikTok Khairul Aming pada pukul 9 malam Jumaat ini. Hanya pembeli terpantas yang membuat pembayaran melalui Online Banking (bukan kad kredit atau e-wallet) akan terpilih. Platform yang dibenarkan termasuklah Bank2U, CNB, Clickbank dan lain-lain.
KA turut memberitahu bahawa pemilihan ini bukan melalui cabutan bertuah atau lucky draw, sebaliknya berdasarkan siapa paling pantas membuat pembelian dan pembayaran.
“Ini bukan lucky draw. Siapa paling cepat, dia dapat. Jangan lupa set alarm pukul 8.50 malam supaya tak terlepas,” tambahnya.


