![Image from: [VIDEO] KL banjir, sesak 3km Zoo Negara ke KL East Mall](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-09-at-16.52.39-1024x642.jpeg)
PETALING JAYA – Hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di sekitar Taman Melawati petang ini menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh tiga kilometer di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
Astro Radio Trafik menerusi kemas kini pada pukul 4.35 petang memaklumkan kesesakan berlaku dari Zoo Negara menghala ke KL East Mall berikutan banjir kilat yang dilaporkan berhampiran Taman Melawati.
“MRR2: Terdapat kesesakan 3km (kilometer) dari Zoo Negara ke KL East Mall susulan banjir kilat dilaporkan berdekatan Taman Melawati,” menurut laporan berkenaan.
Situasi itu turut dikongsi pengguna Threads, Redzall yang memuat naik video memaparkan keadaan banjir di persimpangan berhampiran sebuah sekolah dekat Taman Melawati.
Menerusi video berkenaan, beberapa kenderaan dilihat tidak dapat meneruskan perjalanan dan dipercayai terperangkap dalam banjir yang melanda kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] KL banjir, sesak 3km Zoo Negara ke KL East Mall appeared first on Kosmo Online.


