
KUALA LUMPUR - AmBank hari ini memohon maaf susulan penularan sebuah video memaparkan seorang lelaki dipercayai gelandangan yang disimbah air dan ditendang di luar cawangannya di Taman Maluri.
Video tersebut tular di media sosial dan mencetuskan kecaman meluas terhadap tindakan yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Dalam kenyataan hari ini, pihak bank berkata mereka amat bimbang dan sedih dengan kejadian itu, sambil menegaskan bahawa tiada sesiapa pun wajar dilayan sedemikian rupa.
Terdahulu, netizen meluahkan rasa marah dan kecewa selepas rakaman berkenaan tular di media sosial.
Video tersebut jelas memaparkan tindakan dua individu termasuk seorang pengawal keselamatan wanita mengejar seorang gelandangan yang sedang tidur di laluan pejalan kaki.
Pengawal terlibat kelihatan menyimbah air ke arah lelaki itu, sebelum seorang lelaki lain dipercayai tukang kasut di kawasan terbabit turut tampil.
Dalam rakaman berkenaan, dia dilihat menendang mangsa sebelum turut menyimbah air ke arahnya.
Lelaki gelandangan itu kemudian bangun dan berlalu pergi tanpa berkata apa-apa.
Menurut AmBank, pengawal keselamatan berkenaan merupakan pekerja syarikat perkhidmatan keselamatan luar yang dilantik oleh bank, manakala lelaki kedua dipercayai tukang kasut yang berang dengan mangsa.
“Walau apa pun, kami mengharapkan semua individu yang mewakili bank ini, termasuk vendor dan rakan kerjasama, mengekalkan tahap profesionalisme yang tertinggi,” menurut kenyataan itu lagi.
AmBank turut memaklumkan bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak terlibat. - Getaran, 25 November 2025

![Ramai Kecam Tindakan 2 Individu Siram Air & Tendang Gelandangan Tidur Di Kaki Lima [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)


