[VIDEO] Lima warden penjara mengaku tidak bersalah cederakan banduan

3 Jul 2026 • 12:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Lima warden penjara mengaku tidak bersalah cederakan banduan
Image from: [VIDEO] Lima warden penjara mengaku tidak bersalah cederakan banduan
Lima warden penjara dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam insiden yang dilaporkan sebagai rusuhan di Penjara Taiping, Januari tahun lalu.
Image from: [VIDEO] Lima warden penjara mengaku tidak bersalah cederakan banduan
Tinjauan di luar mahkamah mendapati rakan-rakan tertuduh yang hadir membuat kepungan bagi mengelakkan gambar dirakam pihak media.

TAIPING – Lima warden penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam insiden yang dilaporkan sebagai rusuhan di Penjara Taiping pada Januari tahun lalu.

**media[3569978]**

Tertuduh, Mohd Hairie Jumri, 40; Saiful Azman Mohamad Ibrahim, 44; dan Ahmad Rizal Razali, 37, yang merupakan inspektor dan sarjan penjara, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret R. Prabakaran.

Dua lagi tertuduh, Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, 40, dan Nor Hafiz Izwan Muhammad Jajam, 31, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hairie dan Saiful Azman didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan cota terhadap P. Jason Immanuel, 25, di Dewan B, Penjara Taiping antara jam 3 petang hingga 4 petang pada 17 Januari 2025.

Kedua-duanya yang telah berkahwin dan mempunyai empat anak didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Ahmad Rizal, yang kini bertugas di Pusat Koreksional Kamunting, pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V. Naveen Kumar, 32, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

**media[3569979]**

Pertuduhan terhadap bapa tiga anak itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farihah Adilah Fazial, manakala semua tertuduh diwakili peguam Aqmarul Aqil Ismail.

Mahkamah membenarkan Mohd Hairie dan Saiful Azman diikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan dua penjamin serta perlu melapor diri ke balai polis setiap bulan, manakala Ahmad Rizal pula dibenarkan diikat jamin RM3,000.

Mahkamah menetapkan 7 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding berasingan, Muhamad Mustakhim dan Nor Hafiz Izwan didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan terhadap G. Yugarajan, 30, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, namun mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas mengambil kira rayuan pihak pembelaan.

Muhamad Mustakhim diwakili peguam Amirul Fairuzzeen Jamaluddin, manakala Nor Hafiz Izwan diwakili Aqmarul Aqil yang dalam rayuannya memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Mahkamah menetapkan 8 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, tinjauan di luar mahkamah mendapati rakan-rakan tertuduh yang hadir membentuk kepungan bagi mengelakkan gambar dirakam pihak media.

Media melaporkan sebelum ini, Suhakam memulakan siasatan awam berhubung dakwaan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E.

Insiden itu turut menyebabkan seorang tahanan, Gan Chin Eng, meninggal dunia. Dalam kes itu, seorang warden penjara telah pun dituduh di Mahkamah Majistret Taiping pada 19 Disember lalu mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan bagi kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada membunuh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved