MAKKAH – Malaysia dilihat berada di landasan terbaik untuk muncul sebagai antara peneraju haji lestari dunia menerusi pelaksanaan inisiatif Haji Lestari (Green Hajj) yang diperkenalkan Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberi fokus kepada aspek ibadah, malah turut menekankan dimensi penjagaan alam sekitar sebagai amanah seluruh umat manusia. Menurut beliau, pelaksanaan Haji Lestari membuktikan komitmen Malaysia dalam menyediakan ekosistem dan sistem sokongan terbaik ke arah pengurusan haji yang lebih lestari serta mesra alam.
“Kita melancarkan satu kempen Haji Lestari atau Green Hajj yang merupakan inisiatif daripada Tabung Haji dengan kerjasama Arab Saudi.
“Alhamdulillah, kita menyaksikan satu inisiatif di mana kita menyediakan ekosistem bagaimana jemaah haji boleh menyumbang kepada usaha kitar semula kain ihram mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Haji Lestari (Green Hajj) Musim Haji 1447H/2026M di Abraj Al Tayseer di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, selain pengumpulan kain ihram terpakai, TH turut menyediakan tong pengasingan sisa seperti kertas, plastik dan bahan buangan lain bagi membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan jemaah. Katanya, usaha itu bertujuan menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia bahawa ibadah haji juga mempunyai dimensi penjagaan alam sekitar yang perlu diberi perhatian.
“Penjagaan alam sekitar merupakan amanah dan tanggungjawab seluruh umat manusia. Haji juga merupakan salah satu perkara yang perlu ditekankan daripada aspek menjaga alam sekitar,” katanya.
**media[3529449]**
Menurut beliau, Malaysia antara negara paling ke hadapan dalam memperkenalkan pendekatan haji lestari menerusi pelaksanaan sistem kitar semula dan upcycling melibatkan kain ihram serta bahan lain.
“Ini merupakan inisiatif yang sangat baik dan membuktikan Malaysia adalah peneraju dalam haji lestari di dunia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya turut mengadakan taklimat serta perbincangan terperinci bersama Penyedia Perkhidmatan Haji sebagai persediaan akhir menghadapi kemuncak ibadah haji di Masyair. Menurut beliau, lawatan ke kawasan Masyair akan dilakukan bagi meninjau persiapan terakhir menjelang wukuf di Arafah dan ibadah melontar di Mina.
“Kita akan pastikan semuanya berada dalam persiapan yang rapi dan teliti bagi membantu memudahkan urusan jemaah haji Malaysia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan semua jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci dan keadaan keseluruhan sentiasa dipantau secara rapi oleh TH. Katanya, penghargaan wajar diberikan kepada petugas TH serta petugas kesihatan yang disifatkan telah menetapkan penanda aras tinggi dalam pengurusan haji negara.
“Kita ucapkan terima kasih kepada petugas TH dan juga petugas kesihatan yang memainkan peranan begitu baik dan profesional dalam memastikan pengurusan haji terbaik dapat diberikan kepada jemaah,” katanya.
Mengulas aspek kesihatan jemaah, beliau berkata, kerajaan sentiasa memantau kebajikan dan keadaan kesihatan jemaah dari semasa ke semasa termasuk mereka yang menerima rawatan di hospital. Menurut beliau, beliau sempat menziarahi tiga jemaah Malaysia yang menerima rawatan di Saudi German Hospital pada Khamis.
“Alhamdulillah, kita mempunyai petugas kesihatan yang sangat profesional. Walaupun jemaah dirawat di hospital swasta atau kerajaan, tetap ada doktor dan pakar perubatan kita yang memantau serta melakukan susulan dengan sangat baik,” katanya.
Beliau berkata, keupayaan petugas kesihatan Malaysia bukan sahaja terserlah dari sudut kepakaran perubatan, malah turut melibatkan aspek komunikasi dan pendekatan menyantuni jemaah.
“Jemaah haji kita juga berasa sangat selesa kerana petugas kesihatan kita terlatih dan memahami keperluan mereka,” katanya.
Tambah beliau, walaupun menerima rawatan, jemaah yang ditemui tetap menunjukkan semangat tinggi untuk meneruskan ibadah dan bersedia menunaikan wukuf di Arafah.






