PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia dinasihati supaya tidak memasuki Makkah pada musim haji sekiranya tidak memiliki permit haji yang sah bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, setiap individu perlu memahami bahawa kemasukan ke Makkah semasa musim haji dikawal ketat melalui sistem permit yang diwujudkan bagi tujuan keselamatan dan pengurusan jutaan jemaah.
“Masuk Arab Saudi itu mungkin sah dengan visa pelancong atau umrah, tetapi untuk masuk ke Makkah semasa musim haji tetap memerlukan permit haji yang sah. Itu peraturan yang wajib dipatuhi,” katanya kepada Sinar Harian.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima rakyat Malaysia ditahan cuba masuk Makkah tanpa permit haji
Beliau berkata demikian mengulas laporan media tempatan pada Selasa mengenai penahanan lima individu rakyat Malaysia kerana melanggar peraturan haji selepas cuba memasuki kota suci itu melalui laluan tidak rasmi tanpa permit sah dan tindakan undang-undang telah dimulakan terhadap mereka.
Menurutnya, tindakan pihak berkuasa Arab Saudi adalah selaras dengan peraturan sedia ada yang mengawal aliran jemaah bagi mengelakkan kesesakan dan risiko keselamatan.
Dalam pada itu, Razali tidak menafikan wujud segelintir individu yang cuba mencari jalan pintas untuk menunaikan haji, namun beliau menegaskan tindakan sedemikian tidak wajar kerana boleh menyebabkan mereka melanggar undang-undang negara tuan rumah dan akhirnya berdepan tindakan pihak berkuasa.
“Mungkin ada yang menunggu terlalu lama untuk haji, sampai berpuluh tahun. Tapi itu bukan alasan untuk melanggar undang-undang. Kita kena ikut sistem yang ditetapkan,” katanya.






