[VIDEO] Manifesto: Bersatu janji peruntukan sama rata kepada semua ADUN

LocalPolitics
25 Jul 2026 • 6:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Manifesto: Bersatu janji peruntukan sama rata kepada semua ADUN
Image from: [VIDEO] Manifesto: Bersatu janji peruntukan sama rata kepada semua ADUN
Muhyiddin (duduk, tengah) ketika sidang akhbar selepas melancarkan manifesto Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu.

SEREMBAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjanji akan memberikan peruntukan secara adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti sekiranya berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

**media[3594598]**

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bukanlah untuk kepentingan peribadi, sebaliknya bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan masing-masing terus terbela.

Menurut beliau, amalan itu pernah dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri dengan semua Ahli Parlimen menerima peruntukan tanpa mengira kedudukan sebagai kerajaan atau pembangkang.

"Saya beri kepada semua Ahli Parlimen. Malangnya kerajaan pusat hari ini tidak berbuat demikian sehingga wakil rakyat pembangkang tidak menerima peruntukan. Jadi, pasal itu seksa jugalah.

"Peruntukan itu bukan untuk kegunaan peribadi wakil rakyat, tetapi digunakan mengikut prosedur bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing," katanya selepas melancarkan manifesto Bersatu bagi PRN Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.

Terdahulu, beliau melancarkan manifesto bertemakan "Tawaran Bersatu Demi Nismilan" yang mengandungi sembilan tunjang utama sebagai tawaran kepada rakyat Negeri Sembilan.

Antara fokus utama manifesto itu ialah mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Selain itu, Bersatu turut menawarkan Inisiatif Raikan Cinta Nismilan iaitu bantuan sebanyak RM500 kepada setiap pasangan pengantin baharu sebagai sokongan awal kepada pasangan muda memulakan kehidupan berkeluarga.

Manifesto tersebut turut menggariskan sembilan tunjang meliputi aspek tadbir urus, pertumbuhan ekonomi, pelancongan, pertanian dan perladangan, pendidikan, pemerkasaan belia, pemerkasaan wanita, kebajikan warga Felda serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Muhyiddin berkata, semua tawaran yang digariskan dalam manifesto itu telah diteliti dari aspek implikasi kewangan serta kemampuan kerajaan negeri untuk melaksanakannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, Bersatu tidak menjanjikan sesuatu yang di luar kemampuan sebaliknya setiap inisiatif dirangka berdasarkan unjuran kewangan negeri dan potensi peningkatan hasil pada masa depan.

"Semua perkara yang kita senaraikan mempunyai implikasi kewangan dan telah pun kita teliti dari segi keupayaan kewangan kerajaan negeri sedia ada. Unjuran yang kita buat juga berpatutan untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Pastinya akan ada usaha untuk meningkatkan hasil negeri. Sebab itu kita membuat tawaran yang realistik dan boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, manifesto tersebut turut mengambil kira keperluan hampir semua lapisan masyarakat di Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama mahupun peringkat umur.

"Apa yang disenaraikan dalam manifesto ini mencakupi hampir semua kategori profil penduduk di Negeri Sembilan. Tidak mengira latar belakang kaum atau agama, sama ada golongan muda mahupun warga emas, semuanya ada dalam tawaran ini.

"Kita menyusun strategi supaya tiada seorang pun yang tercicir. Semua warga Negeri Sembilan akan mendapat manfaat sekiranya kita diberi kepercayaan untuk mentadbir negeri," ujarnya.

Muhyiddin berkata, selain mengukuhkan kedudukan kewangan negeri, kerajaan yang diterajui Bersatu juga akan memberi tumpuan kepada usaha menambah hasil negeri tanpa membebankan rakyat.

Katanya, pendekatan itu termasuk memperkenalkan langkah-langkah yang mampu merancakkan aktiviti ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan, sekali gus meningkatkan pendapatan kerajaan negeri.

"Kita ada banyak perancangan. Bukan setakat mengukuhkan kewangan negeri, malah menambah hasil negeri. Apa yang penting, kita tidak mahu membebankan rakyat.

"Sebab itu kita juga mengumumkan pengurangan atau pengecualian bagi beberapa kadar dan aktiviti tertentu supaya rakyat dapat menikmati lebih banyak kemudahan serta mengurangkan beban kos sara hidup," katanya.

 

.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved