Video Muzik Joe Flizzow, 'Satu Malam Di Temasek' Menang Anugerah Antarabangsa

30 Sep 2022 • 8:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Joe Flizzow - Gambar Fail

Satu lagi kejayaan dicipta Presiden Hip Hop Malaysia, Joe Flizzow apabila muzik video lagi ‘Satu Malam Di Temasek’ (SMDT) berjaya mencuri perhatian dunia. 

Video muzik itu menerima pengiktirafan dalam bentuk ‘Anugerah Kehormat’ atau ‘Honorable Mention’ di International Music Video Awards bagi kategori Video Muzik Hip Hop Terbaik.

‘Satu Malam Di Temasek’ adalah single baharu Joe Flizzow dan video muziknya telah berjaya mencuri perhatian ramai peminat muzik hip hop apabila memaparkan rapper legenda itu dalam sebuah lubang kubur. 

image is not available

Penerbit eksekutif video muzik SMDT, Edwin Raj berkata, sebagai sebuah syarikat yang menerbitkan video muzik khususnya berkonsep hip hop, kemenangan itu adalah suatu pengiktirafan yang  sangat   berharga   bukan   sahaja di peringkat tempatan tapi juga antarabangsa.

“Kami sangat gembira dengan anugerah khas ini di International Music Video Awards untuk kategori Video Muzik Hip Hop Terbaik.  

“Saat menerbitkan sesuatu yang belum pernah dibuat orang, pasti ia akan memberikan cabaran. Tapi, apa yang penting, kita mampu mengatasinya,” katanya. 

image is not available

Jelas Edwin lagi, mereka menghantar penyertaan muzik video SMDT ke International Music Video Awards sekadar untuk mencuba. 

“Kalau tidak cuba, kita tidak tahu. Kami juga telah bersedia menerima apa jua keputusan, namun pada masa yang sama, kami juga menyimpan harapan untuk menang,” katanya. 

image is not available

Edwin juga percaya punca kemenangan video tersebut adalah kerana kelainan yang cuba ditampilkan di dalam muzik video itu serta keberanian melakukan sesuatu di luar ruang lingkup keselesaan mereka.

“Diffan Sina Norman selaku pengarah telah memberikan idea yang segar dengan pendekatan berbeza 

“Kami menggali sebuah  kubur dan Joe menyanyi di dalam kubur itu untuk video  ini,  ia memang gila! Ia juga lebih artistik dan pesanannya juga sangat subjektif. 

“Banyak komen yang diterima dengan interpretasi masing-masing, dan inilah yang membuat ia menarik.

“Untuk pihak penerbitan, saya harap mereka bangga dengan anugerah ini dan akan terus menghasilkan karya hebat selepas ini. Ia satu penghargaan dapat bekerjasama dengan anda semua,” ujar Edwin penuh bangga.

Dengan lebih banyak projek menanti, pasti lebih banyak karya berkualiti dari Malaysia bakal mencuri perhatian di masa hadapan. – Getaran, 30 September 2022