
IPOH – Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini masih dalam keadaan trauma susulan kejadian nahas ngeri bas di Kilometer 53 Jalan Gerik-Jeli yang mengorbankan 15 rakan mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa serta waris bagi membantu mereka menguruskan tekanan emosi akibat insiden tersebut.
Menurutnya, setakat ini keadaan mangsa stabil dan kini ditempatkan di wad biasa.
“Seorang daripada mangsa masih separa sedar kerana diberikan ubat, manakala seorang lagi sudah boleh bercakap dan kelihatan stabil, namun tetap menunjukkan tanda-tanda trauma.
“Dia ada memaklumkan bahawa sebelum kejadian, kawannya sempat mengejutkannya daripada tidur dan memberitahu bas dipandu laju. Mangsa juga sempat menegur pemandu agar memperlahankan kenderaan, namun bas tetap dipandu laju sehingga berlaku kemalangan,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di HRPB di sini pada Selasa.
Noraini berkata, sempena lawatan itu juga, pihaknya telah menyerahkan sumbangan kepada kedua-dua pelajar terbabit menerusi JKM dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Katanya, pihak kementerian turut menyediakan kemudahan Anjung Kasih kepada keluarga mangsa yang memerlukan tempat penginapan atau kemudahan menukar pakaian sepanjang berada di hospital berkenaan.
**media[3159589]**
Beliau berkata, JKM juga akan menghubungi semua waris pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu menerusi kerjasama dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu dan Perak bagi menyalurkan bantuan susulan sekiranya diperlukan.
“Kita faham trauma yang dialami bukan sahaja oleh mangsa tetapi juga ahli keluarga mereka.
"Jadi, selain bantuan kebajikan, perkhidmatan kaunseling ini akan diberikan secara menyeluruh,” katanya.
Ketika ini, hanya Lili Suzana Mat Ya'acob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd Zaidi, 21, yang menerima rawatan di HRPB.
Sementara itu, mengenai mangsa dalam kenderaan Perodua Alza, Noraini berkata, pegawai JKM akan membuat lawatan terhadap keluarga yang turut mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.
Katanya, jika terdapat sebarang keperluan, bantuan sama akan turut diberikan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, 15 pelajar disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.
Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Alza lalu terbalik dan merempuh pembahagi jalan.




