[VIDEO] Netizen Puas Hati MB Johor ‘Sound’ Pegawai Lepas Tinjau Kesesakan Di CIQ

Entertainment
3 May 2023 • 5:33 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini meluangkan masa meninjau keadaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) berikutan isu kesesakan semasa waktu puncak.

Tular sebuah video berdurasi satu minit lapan saat di media sosial yang mana Onn Hafiz sedang meninjau keadaan jalan di situ.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan Onn Hafiz sedang bertanya kepada beberapa individu yang dipercayai pegawai bertugas di CIQ mengenai situasi yang berlaku.

Dalam video terbabit, beliau mempersoalkan tentang situasi sesak di situ hingga ramai pengguna jalan raya mengeluarkan bunyi hon.

“Dua hari lepas saya datang, tak marah macam ni? Ini first time saya nampak bottle neck macam ni. Something is happening down here,” katanya kepada pegawai di situ.

Apabila ditanya mengapa ramai yang membunyikan hon, salah seorang pegawai di situ menjawab situasi itu perkara biasa.

Mungkin tidak berpuas hati dengan keadaan yang dilihat itu, Onn Hafiz mahu meninjau penyebab kesesakan.

Difahamkan, keadaan sesak akibat hanya satu laluan sahaja dibuka disebabkan laluan lain dihalang oleh trak skylift. Lalu, Onn Hafiz meminta pegawai di sana mengalihkan kenderaan terbabit.

“Awak suruh driver awak alihkan skylift ni sekarang. Pagi-pagi nak kacau kat sini buat apa? Padanlah jammed,” ujarnya.

Selepas beberapa ketika, dapat dilihat keadaan jalan sudah kembali normal.

Video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi netizen, rata-ratanya kagum dengan cara kerja Onn Hafiz. Pada masa yang sama, netizen juga risau masalah tersebut kembali berulang jika tidak diselesaikan masalah daripada pihak pengurusan.

image is not available

Terdahulu, Onn Hafiz berkata beberapa inisiatif baharu akan dibincangkan untuk memperbaiki serta menambah baik sistem sedia ada bagi mengurangkan kesesakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.