Video nostalgia titah ucapan Aidilfitri Raja Muda Selangor tambat hati rakyat

19 Mar 2026 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Video nostalgia titah ucapan Aidilfitri Raja Muda Selangor meraih perhatian dan menambat hati rakyat.

SHAH ALAM – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tampil dengan pendekatan segar dan berbeza dalam titah ucapan bersempena dengan Aidilfitri tahun ini menerusi video nostalgia yang mencuri perhatian serta menambat hati rakyat jelata.

Menurut Pejabat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Shah Alam, video titah ucapan dimuat naik menerusi platform media sosial rasmi baginda seperti Instagram, Facebook dan TikTok menerima sambutan menggalakkan dengan ribuan tontonan, perkongsian serta komen positif.

Rata-rata netizen menzahirkan rasa gembira dan teruja, selain turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan Selamat Hari Raya kepada baginda dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Tidak kurang juga yang menyifatkan pasangan diraja itu sebagai mesra rakyat serta mencuit hati.

Keunikan video berkenaan terserlah menerusi gabungan elemen tradisi dan nostalgia yang dekat dengan masyarakat, termasuk paparan keceriaan kanak-kanak, kenangan bermain basikal, penyediaan juadah seperti lemang serta amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan.

Penghasilan video itu dilihat menampilkan sentuhan kreatif yang teliti dan penuh penghayatan dengan susunan visual harmoni serta penyampaian titah yang lembut dan menyentuh perasaan.

Dalam titah tersebut, baginda turut menyampaikan salam Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor, diiringi doa agar ikatan silaturahim terus diperkukuh serta kesejahteraan sentiasa mengiringi setiap keluarga.

Pendekatan berkenaan mencerminkan keprihatinan baginda , malah memperlihatkan evolusi komunikasi institusi diraja yang lebih dekat dan relevan dengan rakyat, khususnya generasi muda.