![Image from: [VIDEO] Pesanan makanan cecah RM42,000 gara-gara tertayang kod QR](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/tular-makanan-bayaran-1024x696.jpeg)
PETALING JAYA – Gara-gara kos QR restoran terpapar ketika siaran langsung, seorang ‘streamer’ dari Amerika Syarikat (AS) berdepan detik cemas apabila penonton membuat pesanan makanan tanpa pengetahuannya.
Kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan insiden melibatkan Nicholas Fosco atau Lacy ketika menikmati hidangan bersama teman wanitanya, Darla Claire, di sebuah restoran di Jepun kelmarin.
Ketika itu, Lacy sedang bersiaran langsung menerusi platform Twitch sebelum kod QR untuk membuat pesanan yang terletak di meja mereka secara tidak sengaja terpapar pada kamera.
Situasi tersebut dipercayai membuka peluang kepada penonton untuk mengimbas kod berkenaan sebelum membuat pelbagai pesanan tambahan.
Lacy mula menyedari perkara itu apabila kakitangan restoran datang ke mejanya untuk mengesahkan pesanan yang dibuat.
Lebih mengejutkan, jumlah keseluruhan pesanan tersebut didakwa mencecah 1.6 juta yen (RM42,000), sekali gus membuatkan Lacy berang dengan tindakan penontonnya.
Dia turut meluahkan rasa kecewa apabila tindakan tersebut dianggap sebagai gurauan sedangkan ia menyusahkan pihak restoran.
Bagaimanapun, restoran Zauo Shibuya tampil memberikan penjelasan bahawa pihaknya akan menyemak setiap pesanan bersama pelanggan dan hanya mengenakan bayaran bagi makanan yang benar-benar dimakan.
Menurut kenyataan restoran yang dipetik Dexerto semalam, sebahagian pesanan palsu sempat disediakan sebelum pihaknya menyedari perkara tersebut.
Keadaan itu menyebabkan makanan berkenaan terpaksa dibuang kerana pesanan tersebut bukan dibuat oleh pelanggan sebenar. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Pesanan makanan cecah RM42,000 gara-gara tertayang kod QR appeared first on Kosmo Online.


