![Image from: [VIDEO] Raja Charles petik hadis nabi ketika rai Sultan Oman](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/AFP.webp)
WINDSOR – Suasana majlis jamuan kenegaraan di Kastil Windsor menjadi tumpuan dunia apabila Raja Charles III menyampaikan sebahagian ucapannya dalam bahasa Arab dan memetik sebuah hadis sahih Nabi Muhammad bagi memuji akhlak rakyat Oman semalam.
Menurut laporan BBC News, momen itu berlangsung ketika majlis meraikan keberangkatan tiba Sultan Oman, Sultan Haitham bin Tarik, yang mengadakan lawatan negara rasmi selama tiga hari ke United Kingdom (UK).
Ia merupakan lawatan negara pertama oleh seorang Sultan Oman ke Britain dalam tempoh 44 tahun.
Di hadapan kira-kira 160 tetamu kehormat, menurut sumber berita, Anadolu Agency, Raja Charles melafazkan hadis daripada riwayat Sahih Muslim (No. 2544):
“Law anna ahla Oman atayta ma sabbok wa la darabok” bermaksud (“Jika kamu mendatangi penduduk Oman, nescaya mereka tidak akan mencaci-maki kamu dan tidak pula memukul kamu.”)
Menerusi laporan Al Jazeera, Raja Charles turut memuji peranan Oman sebagai negara pendamai (peacemaker) serta usaha mereka memastikan keselamatan laluan perkapalan penting dunia di Selat Hormuz.
Menurut rekod, ini bukan kali pertama Raja Charles bertutur dalam bahasa Arab di khalayak rasmi; baginda pernah mempelajari bahasa tersebut sejak zaman anak raja lagi dan pernah menyambut pemimpin Qatar dalam bahasa Arab sebelum ini.
Majlis jamuan malam tersebut turut dihadiri oleh Ratu Camilla serta kerabat diraja Britain yang lain. – Agensi
The post [VIDEO] Raja Charles petik hadis nabi ketika rai Sultan Oman appeared first on Kosmo Online.



